POLIS Diraja Malaysia (PDRM) bersedia membuka siasatan berhubung dakwaan kebocoran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berkaitan Datuk Seri Najib Tun Razak, susulan gesaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya bagaimanapun belum menerima sebarang laporan polis berhubung perkara itu setakat ini.
Beliau berkata, isu berkenaan perlu diteliti memandangkan proses penyahklasifikasian dokumen berkenaan dibentangkan di Parlimen, manakala dakwaan kebocoran itu dipercayai berlaku sebelum proses tersebut dilaksanakan.
“Semua sedia maklum bahawa berkaitan dengan isu ini memang telah dibentangkan di Parlimen untuk dinyahklasifikasikan dan sebagainya, tapi perkara ini berlaku mungkin sebelum berlakunya nyahklasifikasi itu sendiri.
“Tapi saya percayalah mungkin ada pihak-pihak tertentu dan kita masih lagi meneliti keadaan ini, laporan-laporan polis yang mungkin akan dibuat oleh pihak-pihak tertentu dan kita akan ambil tindakan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Lencana Pangkat Pegawai Kanan Polis di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur hari ini, lapor Buletin TV3.
Mengulas kemungkinan bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua dipanggil bagi membantu siasatan susulan tindakannya berkongsi beberapa muka surat minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang telah dinyahklasifikasi di media sosial, Mohd Khalid berkata, perkara itu akan dirujuk kepada pegawai penyiasat terlebih dahulu.
“Kita akan rujuk balik kepada pegawai penyiasat dan ini tak ada laporan polis berhubung dengan isu ini cuma benda ini digembar-gemburkan di dalam media-media sosial dan sebagainya.
“Jika ianya betul-betul menjejaskan keselamatan dan sebagainya kita akan ambil tindakan yang sesuai,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan kerajaan menyebarkan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia kepada umum.
Anwar turut menafikan dokumen berkaitan pengampunan bersyarat Najib itu diedarkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) atau Jabatan Peguam Negara (AGC).
Sebaliknya, beliau menjelaskan AGC hanya menyahklasifikasikan sebahagian dokumen berkaitan bekas Perdana Menteri itu sebagai persediaan menghadapi prosiding mahkamah.
Dalam perkembangan sama, Saifuddin hari ini mengarahkan PDRM menggunakan segala sumber yang ada bagi menyiasat dakwaan kebocoran minit mesyuarat berkenaan, selain memaklumkan Anwar sebelum ini sudah menjelaskan dua perkara utama berkaitan isu itu di Parlimen.





