PEMERGIAN Sasterawan Negara, Datuk Seri Dr A Samad Said disifatkan sebagai kehilangan besar kepada dunia kesusasteraan dan kebudayaan tanah air.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Allahyarham atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Samad sepanjang hayatnya banyak menabur bakti kepada bahasa dan sastera menerusi karya yang merakam kehidupan, pergolakan masyarakat serta perjalanan bangsa.

Beliau berkata, sumbangan Allahyarham bukan sekadar melalui penulisan, malah pemikiran dan perjuangannya turut menjadi sebahagian daripada khazanah kesusasteraan negara.
“Pemergian Pak Samad merupakan satu kehilangan besar buat dunia kesusasteraan dan kebudayaan tanah air.
“Sepanjang hayatnya, Pak Samad telah mengabdikan diri kepada bahasa dan sastera, bukan sekadar melalui penulisan, tetapi juga dengan merakam denyut nadi kehidupan, pergolakan masyarakat serta perjalanan bangsa melalui mata seorang sasterawan,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.
Fahmi berkata, beberapa karya agung Allahyarham termasuk Salina, Sungai Mengalir Lesu dan Hujan Pagi terus menjadi antara karya penting yang menghiasi khazanah sastera negara.
Menurutnya, karya berkenaan mengangkat kisah kehidupan manusia, kepayahan, perjuangan dan realiti masyarakat yang akan terus dibaca serta dihayati oleh generasi akan datang.
“Sesungguhnya, jasad seorang sasterawan mungkin telah pergi, namun suara, pemikiran dan perjuangannya tidak akan sama sekali terpadam.
“Selagi karya-karya Pak Samad terus dibaca dan menjadi sumber inspirasi, selagi itulah nama Pak Samad akan hidup dalam ingatan kita,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga dan sahabat handai Allahyarham serta mendoakan agar segala dosa Allahyarham diampunkan, amal kebajikannya diterima dan rohnya ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
“Al-Fatihah,” katanya.





