KERAJAAN akan mengekalkan dasar dwirangkaian 5G negara bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan serta memberi keyakinan kepada pengguna terhadap keselamatan komunikasi.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pendekatan itu membolehkan satu rangkaian menjadi alternatif kepada rangkaian lain sekiranya berlaku gangguan atau kecemasan.
“Sekiranya apa-apa berlaku kepada satu rangkaian, maka rangkaian kedua boleh diaktifkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program NEXSEC 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur hari ini.
Fahmi berkata, beliau telah meminta kedua-dua pengendali rangkaian mengadakan perbincangan bagi membolehkan pengguna terus menerima perkhidmatan daripada rangkaian alternatif sekiranya rangkaian yang digunakan mengalami gangguan.
Katanya, langkah itu penting bagi mengelakkan risiko kegagalan satu rangkaian menjejaskan perkhidmatan kepada pengguna.
Dasar dwirangkaian 5G negara melibatkan Digital Nasional Berhad (DNB) yang menggunakan peralatan Ericsson, manakala U Mobile sebagai pengendali rangkaian kedua menggunakan teknologi Huawei dan ZTE.
Menurut Fahmi, dasar berkenaan bukan sahaja memberi keyakinan kepada pelbagai pihak untuk berkomunikasi dengan selamat menggunakan peralatan daripada penyedia teknologi tertentu, malah menyediakan aspek redundansi bagi memastikan perkhidmatan dapat diteruskan sekiranya berlaku gangguan.
Hala tuju dasar dwirangkaian 5G negara menjadi perhatian susulan rancangan perubahan struktur pemilikan DNB, dengan kerajaan dijangka tidak lagi menjadi pemegang saham utama, manakala CelcomDigi, Maxis dan YTL Power bakal memperoleh kawalan lebih besar.
Perkembangan itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penganalisis mengenai kemungkinan kepelbagaian teknologi antara kedua-dua rangkaian terjejas, terutama jika keputusan perolehan pada masa depan membawa kepada penggunaan teknologi yang semakin serupa.
Pada 12 November lalu, EuroCham Malaysia berkata, kejelasan dan konsistensi dasar 5G negara mampu meningkatkan keyakinan pelabur asing dalam membuat keputusan perniagaan jangka panjang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kati Ferry berkata, pendekatan Malaysia menggunakan teknologi Barat dan China memberi kelebihan daya saing kepada negara, selain membolehkan syarikat memilih rangkaian yang bersesuaian dengan keperluan operasi masing-masing.





