PROGRAM Yakin MADANI: Memaknai Harapan Rakyat Peringkat Pulau Pinang akan diadakan pada 28 dan 29 November ini di Kompleks Sukan Balik Pulau dengan pelbagai pengisian menarik untuk manfaat masyarakat setempat.
Program ini dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri.
Penganjuran program ini turut menjadi platform memperkukuh hubungan kerajaan dengan rakyat, di samping memperluas akses masyarakat kepada pelbagai peluang ekonomi dan keusahawanan.
Selaras dengan peranan KUSKOP dalam menerajui pembangunan ekosistem keusahawanan dan koperasi negara, pengisian berkaitan usahawan dan perniagaan turut diberi penekanan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi setempat.
Program berkenaan bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 29 November (Ahad), jam 1.30 tengah hari. Antara pengisian utama termasuk Jualan RAHMAH MADANI, Jualan Agro MADANI, kaunter bergerak kerajaan, semakan bantuan dan saringan kesihatan.
Pengunjung turut berpeluang meneroka peluang pendidikan dan kerjaya menerusi pameran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Mini Karnival Kerjaya, selain menyertai pelbagai aktiviti santai seperti sukan rakyat, zumba dan Warisan Walk.
Lebih menarik, program berkenaan turut menampilkan pertukaran topi keledar, pertukaran minyak hitam motosikal, inisiatif beras MADANI, pesta makanan viral, pertandingan e-sukan, pertunjukan motorsport serta Himpunan Kelab RXZ Wanita Malaysia.
Kemuncak kemeriahan turut diserikan dengan persembahan konsert dan pelbagai aktiviti hiburan yang pastinya sesuai untuk seisi keluarga.
Program Yakin MADANI merupakan platform mendekatkan kerajaan dengan rakyat menerusi penyampaian maklumat, perkhidmatan dan inisiatif kerajaan, di samping memberi peluang kepada masyarakat menikmati pelbagai manfaat secara langsung.
Orang ramai khususnya penduduk Pulau Pinang dan kawasan sekitarnya dijemput hadir bagi memeriahkan program berkenaan.





