PERDANA Menteri Anwar Ibrahim mendakwa seorang pengurus di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menubuhkan 70 anak syarikat kecil bagi mengaut elaun bulanan tambahan berjumlah RM70,000.
Dakwaan itu mendedahkan potensi kelompongan pengawasan dalam pengurusan entiti berkaitan awam apabila Anwar memaklumkan bahawa meskipun GLC dan lembaga pengarahnya tertakluk kepada kawalan kewangan serta audit, anak-anak syarikatnya beroperasi secara bebas.
Ketika berucap dalam program Dialog Negara terbitan RTM, Anwar menjawab pelbagai persoalan mengenai isu ekonomi dan tatakelola, termasuk kebertanggungjawaban dalam GLC, persaingan daripada platform e-dagang asing, serta cara rakyat Malaysia dapat berkongsi kekayaan yang dijana oleh kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata kerajaan mengenal pasti dan menghentikan amalan tersebut, yang menyaksikan pengurus berkenaan didakwa menerima kira-kira RM1,000 daripada setiap anak syarikat.
“Saya tegaskan orang yang biasa dah puluh tahun tak diganggu sekarang kita ganggu. Tapi ganggu kerana ini amanah mesti dipikul dan mesti berani mengambil beberapa tindakan,” katanya lapor Malaysiakini.
Bagaimanapun, Menteri Kewangan itu tidak mendedahkan identiti GLC mahupun pengurus terbabit, serta tidak memperincikan bila perkara itu berlaku atau tindakan susulan yang diambil.
Selain isu kebertanggungjawaban dalam GLC, Anwar turut membayangkan kemungkinan langkah baharu bagi melindungi perniagaan tempatan daripada persaingan platform e-dagang asing.
Menjawab soalan seorang peserta program — yang menamakan Pinduoduo dan Temu sebagai contoh platform tersebut — Anwar berkata kerajaan sedang menimbang peraturan lebih ketat berikutan kebimbangan lambakan barangan import murah yang boleh menjejaskan peniaga tempatan.
Dia menegaskan langkah sedemikian bukan bertujuan menyekat produk asing, sebaliknya memastikan platform luar negara beroperasi mengikut syarat yang melindungi peniaga dan pengguna tempatan.
Antara syarat yang sedang dipertimbangkan termasuk kerjasama dengan syarikat tempatan, kawalan kualiti, perlindungan daripada penipuan, serta pematuhan terhadap peraturan halal.
Anwar memaklumkan perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat kabinet, namun tidak menyatakan tempoh sebenar pindaan peraturan tersebut akan diperkenalkan.
Kerajaan juga, katanya sedang meneliti kaedah membolehkan rakyat Malaysia berkongsi keuntungan ekonomi daripada AI, dengan dirinya engarahkan Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital untuk mengkaji langkah yang bersesuaian.
Beliau mengulas cadangan pengasas Architects of Diversity, Jason Wee, yang menyarankan penubuhan dana kekayaan AI nasional bagi mengagihkan dividen kepada rakyat, seiring dengan usul yang dibangkitkan oleh Senator Amerika Syarikat (AS), Bernie Sanders.
Anwar bersetuju pada prinsipnya bahawa keuntungan AI tidak seharusnya tertumpu kepada sekumpulan kecil syarikat atau individu sahaja, sambil memberi amaran bahawa kemajuan teknologi berisiko melebarkan jurang ketidaksamaan ekonomi.
Namun, belumbelum memberi kata putus untuk menubuhkan dana tersebut dan memaklumkan kementerian berkaitan akan meneliti perkara itu terlebih dahulu.
Beliau seterusnya mengingatkan agar masyarakat tidak “takut” dengan kemajuan teknologi kerana sikap sedemikian hanya akan menyebabkan Malaysia ketinggalan.
Beliau merujuk kepada syarat yang dikenakan ke atas rancangan pelaburan Google bernilai AS$15 bilion (RM60.96 bilion) di Malaysia sebagai contoh keseimbangan antara menjaga kebajikan rakyat dan menyesuaikan diri dengan kemajuan teknologi.
Syarat tersebut merangkumi komitmen untuk memperkukuh infrastruktur air, memperluas kapasiti tenaga bersih, serta meningkatkan kemahiran literasi AI melibatkan 800,000 rakyat Malaysia.





