Duti dan cukai RM3.59 juta, Kastam KL bongkar taktik seludup tembakau

CUBAAN mengelak pembayaran duti dan cukai import bernilai RM3.59 juta melalui pengikraran palsu terbongkar apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas hampir enam tan produk tembakau kunyah dan cerut di Pelabuhan Klang pada Oktober lalu.

Produk yang dipercayai dibawa masuk dari sebuah negara Asia Tenggara itu dianggarkan bernilai RM358,200, dengan keseluruhan nilai rampasan termasuk duti dan cukai mencecah RM3.95 juta.

Pengarah JKDM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wan Norizan Wan Daud berkata, rampasan dilakukan pada 23 Oktober lalu selepas pihaknya menerima maklumat awam sebelum pasukan penguatkuasaan menahan kontena terbabit untuk pemeriksaan.

ANTARA produk tembakau yang dimuatkan dalam botol minuman berkarbonat yang dirampas JKDM Kuala Lumpur. GAMBAR: Nurul Shafina Jemenon

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemukan 5,925 kilogram (kg) produk tembakau yang disyaki tidak berkastam.

Lebih mencurigakan, katanya, siasatan awal mendapati pihak pengimport dipercayai menggunakan dokumen pengikraran palsu dengan menyenaraikan barangan berkenaan sebagai produk makanan dalam Borang Kastam No. 1.

“Modus operandi itu dipercayai bertujuan mengelakkan pembayaran duti import dan cukai serta keperluan mendapatkan permit import,” katanya dalam sidang media di Komplek JKDM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Kelana Jaya hari ini.

Beliau berkata, pengimportan produk berkenaan sebenarnya tertakluk kepada keperluan permit berdasarkan Butiran 66, Bahagian I, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

Susulan rampasan itu, seorang wakil syarikat pengimport telah dipanggil untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport atau mengeksport barang tidak berkastam atau barang larangan import.

Dalam pada itu, Wan Norizan meminta orang ramai menyalurkan maklumat kepada JKDM bagi membantu membanteras kegiatan penyeludupan yang turut membabitkan rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan.

Beliau berkata, kegiatan itu bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah boleh mengancam keselamatan serta kesejahteraan masyarakat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan boleh menghubungi Talian Bebas Tol Kastam di 1-800-88-8855 atau pejabat kastam berhampiran.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here