Guru diperintah bayar RM1.5 juta kepada 15 mangsa skim jualan emas

SEORANG guru yang bertindak sebagai ejen skim jual beli emas diperintahkan Mahkamah Tinggi Alor Setar hari ini membayar RM1.5 juta kepada 15 individu yang mengalami kerugian selepas menyertai skim berkenaan.

Hakim Dr Mohammad Johan Lee membuat keputusan itu selepas membenarkan tuntutan plaintif, yang kebanyakannya penjawat awam dan rakan kepada guru terbabit.

Peguam mewakili plaintif, Mahmud Jumaat berkata, anak guamnya pada awalnya tertarik menyertai skim itu selepas ditawarkan oleh guru berkenaan yang bertindak sebagai ejen jual beli emas dengan menjanjikan pulangan lumayan.

Menurutnya, skim itu turut menarik perhatian kerana menawarkan emas pada harga jauh lebih rendah berbanding pasaran.

“Dalam pembelaannya, guru berkenaan mendakwa beliau hanya ejen atau orang tengah yang mempromosikan jual beli emas bagi pihak penganjur skim, Siti Hajartul Haini Abd Hamid, 39.

“Bagaimanapun, mahkamah menolak pembelaan itu selepas mendapati wujud hubungan kontraktual antara guru terbabit dengan plaintif,” katanya hari ini, lapor BH.

Mahmud berkata, mahkamah mendapati pembayaran bagi pembelian emas dibuat secara langsung ke akaun peribadi dan akaun perniagaan guru berkenaan.

Katanya, guru itu juga didapati bertanggungjawab terhadap kegagalan memenuhi obligasi kontrak serta memulangkan wang pembelian yang diterima daripada plaintif.

Mahkamah kemudian memerintahkan pembayaran RM1.5 juta berdasarkan jumlah wang pembelian yang berjaya dibuktikan sepanjang perbicaraan.

Pada April lalu, Siti Hajartul Haini, seorang suri rumah, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menipu penjualan emas yang tidak wujud, membabitkan kerugian RM173,500 pada 2024.

Sebelum ini, media melaporkan wanita yang dikehendaki polis berhubung penipuan jualan emas membabitkan kerugian jutaan ringgit itu ditahan sebaik tiba dari Dubai di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada 22 Oktober 2024.

Wanita terbabit dipercayai menipu lebih 100 mangsa dengan menawarkan emas 916 pada harga lebih rendah daripada pasaran, sehingga menyebabkan kerugian melebihi RM110 juta.

Mangsa dilaporkan terdiri daripada kakitangan sebuah unit di hospital awam di Lembah Klang serta guru di beberapa negeri.

Ada antara pelabur yang didakwa sanggup meminjam wang daripada saudara-mara, rakan dan pemberi pinjaman wang tanpa lesen bagi mendapatkan tawaran pembelian emas yang dijanjikan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here