SEORANG pelajar lelaki yang dalam perjalanan ke sekolah untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) cedera selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Bangsar Utama 1, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.55 pagi itu, mangsa yang dalam perjalanan dari arah Pantai Dalam menuju ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bangsar mengalami patah kaki kiri.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Suffian Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada tindakan pemandu kereta yang membelok ke kanan tanpa memberi laluan kepada motosikal mangsa.
Menurutnya, kereta dipandu wanita berusia 25 tahun itu datang dari arah bertentangan sebelum berlaku perlanggaran dengan motosikal berkenaan.
“Keadaan itu menyebabkan perlanggaran antara kedua-dua kenderaan berkenaan.
“Penunggang motosikal cedera patah kaki kiri dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Suffian berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun HS Lee menerusi talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.





