SEORANG remaja lelaki yang memuat naik video memaparkan aksinya melakukan ‘wheelie’ serta melanggar lampu isyarat dalam laman sosial ditahan polis bagi membantu siasatan, awal pagi tadi.
Suspek berusia 19 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Unit Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di sekitar Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur pada jam 1.30 pagi.
Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, suspek ditahan selepas pihaknya mengesan satu video yang tular semalam, menerusi akaun Instagram milik remaja terbabit.
Beliau berkata, video berkenaan dengan jelas memaparkan suspek menunggang motosikal secara berbahaya dan melanggar lampu isyarat di Jalan Raja Laut sehingga mendapat perhatian umum.
“Hasil siasatan mendapati suspek seorang lelaki tempatan berusia 19 tahun yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR berwarna hitam.
“Dalam rakaman berkenaan, suspek dilihat memakai baju lengan panjang berwarna merah, seluar panjang hitam serta topi keledar berwarna hitam ketika melakukan aksi berbahaya itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Zamzuri berkata, insiden terbabit dipercayai berlaku pada 25 April lalu antara jam 2 hingga 3 pagi di jalan yang sama sebelum suspek bertindak memuat naik video itu dalam media sosial miliknya.
Susulan tangkapan itu, katanya, mahkamah membenarkan suspek direman selama sehari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Dalam pada itu, beliau turut memberi amaran keras kepada pengguna jalan raya agar tidak menjadikan jalan awam sebagai litar lumba atau tempat melakukan aksi lagak ngeri.


