POLIS menahan dua remaja selepas motosikal Yamaha 135LC yang ditunggang mereka didapati menggunakan nombor pendaftaran sebuah kereta BMW dalam Ops Samseng Jalanan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur awal pagi ini.
Remaja perempuan berusia 17 tahun itu mendakwa motosikal itu milik bapanya dan dibeli kira-kira empat bulan lepas di Tanjung Malim, Perak sebelum ditunggang rakan lelakinya yang berusia 18 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, motosikal itu antara 147 yang disita dalam operasi tersebut dengan dua remaja terbabit ditahan mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Operasi turut melibatkan pemeriksaan terhadap 1,450 motosikal dan 827 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dengan kesalahan paling banyak ialah tidak memiliki lesen.
“Kebanyakan penunggang motosikal yang diperiksa berusia 15 hingga 20 tahun,” katanya dalam sidang media selepas operasi itu selesai, awal pagi ini, lapor Bernama.
Mohd Zamzuri berkata, operasi bermula jam 2 pagi itu turut mengesan kesalahan mengubah suai nombor pendaftaran termasuk nombor tidak lengkap atau berbeza antara bahagian hadapan dan belakang motosikal.
Beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas selain mengelak pengubahsuaian kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi, menunggang secara berbahaya dan terlibat lumba haram.
“Ibu bapa disarankan sentiasa memantau aktiviti dan penggunaan motosikal oleh anak kerana sikap bertanggungjawab dan berhemah di jalan raya bukan sahaja melindungi diri sendiri, malah mampu menyelamatkan nyawa pengguna lain,” katanya.
Beliau berkata, operasi bersepadu itu membabitkan 103 pegawai dan anggota JSPT serta Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan lapan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Beliau berkata, operasi itu dijalankan setiap malam dengan tindakan penguatkuasaan akan dipertingkatkan menjelang sambutan Bulan Kebangsaan.






