TINDAKAN pantas seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan St John’s Institution (SJI) membawa dua pelajarnya menaiki motosikal membolehkan mereka tiba tepat pada masanya untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), hari ini.
Dua pelajar lelaki Tingkatan Lima itu berdepan risiko terlepas Kertas 1 Matematik yang bermula pada 8.15 pagi susulan gangguan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya akibat masalah bekalan kuasa landasan antara Stesen Subang Jaya dan Lembah Subang.
Menyedari keadaan itu, Guru Penyelia Tingkatan Lima, Mohd Nur Hafizan Abdullah, 40, segera mengambil tindakan selepas dimaklumkan mengenai kelewatan berkenaan dan mendapat kebenaran pihak sekolah.
Beliau menggunakan motosikal untuk mengambil kedua-dua pelajar terbabit di Stesen LRT Jelatek dan Kampung Baru sebelum membawa mereka ke sekolah bagi memastikan mereka tidak terlepas peperiksaan berkenaan.
Pengetua SJI, T Sivakumar menerusi hantaran Facebook berkata, sekolah itu hari ini merakamkan penghargaan terhadap komitmen dan keprihatinan guru berkenaan.
Beliau berkata, tindakan pantas Mohd Nur Hafizan membolehkan kedua-dua calon SPM itu menduduki kertas Matematik mengikut jadual peperiksaan yang ditetapkan.
“Terima kasih En Hafizan atas komitmen dan tindakan pantas demi kelangsungan kecemerlangan SPM SJI,” katanya.
Hantaran berkenaan kemudian mendapat perhatian ramai di media sosial dengan rata-rata warganet memuji keprihatinan guru itu yang sanggup berusaha memastikan pelajarnya tidak terlepas peluang menduduki peperiksaan penting berkenaan.
Pengguna Facebook, Rosnah Arif menerusi ruang komen turut menzahirkan penghargaan selain mendoakan kejayaan kedua-dua pelajar terbabit.
“Semoga pelajar tersebut dapat menjawab kertas exam (peperiksaan) dengan tenang dan berjaya mendapat yang terbaik. Setiap yang baik akan ada balasan yang baik daripada-NYA,” katanya.
Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad turut meninggalkan komen dengan mengucapkan penghargaan kepada guru berkenaan.
“Terima kasih dan tahniah cikgu atas tindakan pantas dan keprihatinan,” katanya.
Seorang lagi pengguna Facebook yang juga bekas alumni SJI, Badrul Nizam Hamzah menyifatkan tindakan itu sebagai sesuatu yang wajar dipuji.
“Terbaik cikgu daripada kami Johanian Veteran,” katanya.
Sementara itu, Mohd Nur Hafizan menerusi ruangan komen mengucapkan terima kasih kepada pengetua, barisan pentadbir, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), setiausaha peperiksaan, rakan guru serta ibu bapa yang memberikan kerjasama dan sokongan.
“Semoga Allah permudahkan segala urusan dan yang baik itu daripada Allah, segala kekurangan daripada kelemahan diri saya sendiri.
“Kredit owner (pemilik) motor dan helmet (topi keledar) Cikgu Izzad dan Cikgu Azrol,” katanya.
Mohd Nur Hafizan yang juga guru Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Moral dilaporkan sudah 12 tahun berkhidmat di sekolah berkenaan.





