BEKAS Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua dan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong hadir di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Kuala Lumpur hari ini untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung dua isu berasingan.
Tony tiba pada jam 9.53 pagi dengan ditemani peguamnya sebelum memasuki ibu pejabat polis itu kira-kira jam 10 pagi.
Beliau dilihat tersenyum ketika dihampiri pengamal media, namun enggan mengulas mengenai kehadirannya dan memaklumkan akan bercakap kepada media selepas selesai proses rakaman keterangan.
Tony dipanggil bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kebocoran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berkaitan isu tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sementara itu, Poay Tiong dijadualkan memberikan keterangan kepada polis pada jam 10 pagi berhubung kenyataan kontroversi yang dibuatnya sebelum ini.
Difahamkan, wakil rakyat DAP itu tiba lebih awal dan memasuki Bukit Aman sebelum pengamal media tiba.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail memaklumkan polis menerima 55 laporan berhubung hantaran Facebook Tony yang didakwa menyentuh kandungan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan mengenai tahanan rumah Najib.
Polis turut menerima dua laporan berhubung kenyataan Poay Tiong mengenai dasar kerajaan Terengganu yang mewajibkan premis perniagaan ditutup sementara pada setiap Jumaat.
Mohd Khalid berkata, siasatan bagi kedua-dua kes dijalankan mengikut Seksyen 203A, 298 dan 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sementara itu, Tony selepas diambil keterangan berkata, pihak-pihak yang kecoh berhubung dakwaan kebocoran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan termasuk UMNO dan Pas, perlu memahami undang-undang kerana dokumen berkenaan sudah dinyahklasifikasikan.
Beliau berpandangan, tiada keperluan untuk siasatan dijalankan terhadap hantaran Facebook yang memaparkan beberapa muka surat minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berkaitan isu tahanan rumah Najib.
Beliau berkata, perkara itu juga sudah dijelaskan oleh Menteri di Parlimen yang mengesahkan dokumen berkenaan telah dinyahklasifikasikan.
“Saya memberikan kerjasama sepenuhnya. Pada pandangan saya, perkara ini sebenarnya tidak perlu disiasat kerana dokumen berkenaan sudah dinyahklasifikasikan.
“Menteri juga sudah menjawab perkara itu di Parlimen dan mengesahkan bahawa dokumen tersebut telah dinyahklasifikasikan. Jadi, apa lagi yang hendak disiasat?.
“Bagaimanapun, pihak-pihak yang kecoh di luar sana, sama ada UMNO atau Pas, perlu memahami undang-undang, dokumen itu sudah dinyahklasifikasikan, jadi apa lagi yang perlu disiasat, apa salahnya?,” katanya ketika ditemui media selepas memberikan keterangan.





