Prosiding kes hasutan Mubarak digantung sementara tunggu keputusan Mahkamah Tinggi

PROSIDING kes hasutan membabitkan Undang Luak Sungei Ujong yang dipertikaikan, Datuk Mubarak Thahak @ Dohak di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini, digantung sementara menunggu penentuan Mahkamah Tinggi berhubung isu bidang kuasa mahkamah.

Keputusan itu dibuat Hakim Tasnim Abu Bakar selepas membenarkan permohonan bantahan awal pihak pembelaan yang mempersoalkan bidang kuasa Mahkamah Sesyen untuk mendengar pertuduhan terhadap Mubarak.

Hakim membenarkan permohonan itu berdasarkan Seksyen 30(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang membolehkan prosiding digantung dan persoalan berkaitan peruntukan Perlembagaan dirujuk kepada Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menetapkan 12 Januari tahun depan untuk pengurusan kes.

Pihak pembelaan turut memohon supaya Mubarak dikecualikan daripada menghadiri prosiding akan datang sehingga persoalan Perlembagaan itu diputuskan, lapor Sinar Harian.

Bagaimanapun, hakim berkata, permohonan berkenaan bergantung kepada keputusan atau status permohonan sama di Mahkamah Tinggi kelak.

Dalam prosiding itu, peguam Mubarak, Asmawi Ismail berhujah, kes berkenaan sepatutnya berada di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Tinggi Khas seperti diperuntukkan dalam Perkara 182 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, kedudukan anak guamnya sebagai salah seorang daripada Undang Yang Empat, iaitu pembesar pemerintah tertinggi Negeri Sembilan bersama Undang Luak Jelebu, Johol dan Rembau, perlu dipertimbangkan sebelum prosiding diteruskan.

“Hak, keistimewaan dan kedudukan Perlembagaan anak guamnya sebagai Pembesar Pemerintah perlu diteliti terlebih dahulu bagi menentukan kesahan prosiding berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, hujahan itu dibantah pihak pendakwaan yang menegaskan kedudukan Mubarak sebagai Undang Luak Sungei Ujong tidak lagi terpakai ketika kesalahan didakwa dilakukan.

Timbalan Pendakwa Raya Shahrizat Ismail berkata, Mubarak telah diberhentikan daripada jawatan berkenaan pada 13 Mei 2025, sebelum tarikh kejadian yang menjadi asas pertuduhan.

Beliau berkata, perkara itu turut disahkan menerusi Warta Kerajaan Negeri Sembilan yang diterbitkan pada Oktober lalu.

“Tertuduh dalam kes ini bukan lagi dalam kapasiti Undang Luak Sungei Ujong, maka hujahan pembelaan tidak lagi terpakai.

“Warta Kerajaan Negeri jelas menunjukkan tertuduh telah diberhentikan daripada jawatan sejak Mei tahun lalu,” katanya.

Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon supaya bantahan awal pembelaan ditolak dan kes diteruskan di Mahkamah Sesyen.

Pendakwaan turut memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap Mubarak kerana didakwa gagal hadir ke mahkamah tanpa memberikan alasan munasabah.

Mengulas perkara itu, seorang lagi peguam pembelaan, Dr Hanif Hassan berkata, Warta Kerajaan berkenaan hanya bersifat hebahan dan tidak mempunyai sifat mengikat.

Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai kesahan keanggotaan mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 31 Julai lalu.

Katanya, isu itu timbul susulan kewujudan perintah sekatan sementara atau ad-interim yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Seremban, sekali gus menghalang enam daripada lapan ahli termasuk Mubarak daripada menghadiri sidang DKU berkenaan.

Mubarak semalam dilaporkan bakal didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini.

Dalam prosiding hari ini, pihak pembelaan memaklumkan anak guamnya tidak hadir untuk menjawab pertuduhan sebelum mengemukakan bantahan awal terhadap bidang kuasa Mahkamah Sesyen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shahrizat Ismail, Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah, Husni Fairos Ramly dan Anas Bashari, manakala Mubarak diwakili pasukan peguam diketuai Asmawi Ismail.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here