Anwar kenang ketegasan Gani Patail tuntut keadilan ketika negara dilanda skandal rasuah

DATUK Seri Anwar Ibrahim mengenang ketegasan bekas Peguam Negara, Allahyarham Tan Sri Abdul Gani Patail dalam menuntut keadilan ketika negara berdepan skandal rasuah terbesar.

Perdana Menteri berkata, Allahyarham merupakan tokoh perundangan yang berani dan teguh dengan pendiriannya ketika negara melalui tempoh getir berikutan skandal berkenaan.

“Saya akan sentiasa mengenang ketegasan Allahyarham dalam menuntut keadilan tatkala negara terheret ke dalam skandal rasuah terbesar.

“Beliau teguh dengan pendirian dalam tempoh getir itu, sehingga akhirnya disingkirkan daripada jawatan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Perdana Menteri turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham yang meninggal dunia malam tadi.

Beliau turut mendoakan agar Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham, melimpahkan rahmat ke atas rohnya serta mengurniakan kekuatan dan ketabahan kepada keluarga dalam menghadapi kehilangan itu.

Allahyarham yang memegang jawatan Peguam Negara selama 13 tahun bermula 2002 hingga 2015 itu menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 71 tahun di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur pada jam 9.15 malam tadi akibat jangkitan.

Peguam Negara kelapan yang dilahirkan pada 6 Oktober 1955 itu memulakan kerjaya dalam bidang kehakiman pada 1980 sebelum berkhidmat sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara, Tawau, Sabah.

Allahyarham ialah rakyat Sabah pertama yang memegang jawatan itu selepas pejabat Peguam Negara Persekutuan ditubuhkan di negeri berkenaan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here