SEORANG lelaki orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas tuduhan mencederakan teman wanitanya yang juga OKU pekak dan bisu menggunakan pisau pada 14 November lalu.
Bagaimanapun, prosiding terhadap tertuduh, Mohd Khairol Anuar Abdullah, 37, ditangguhkan bagi membolehkan jurubahasa isyarat dilantik untuk membantu urusan mahkamah.
Hakim Roslan Hamid menetapkan 4 Disember depan bagi membolehkan prosiding pertuduhan diteruskan.
Mahkamah juga tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dalam prosiding berkenaan.
Mohd Khairol sepatutnya berdepan pertuduhan mencederakan teman wanitanya yang berusia 44 tahun menggunakan pisau di sebuah kediaman di Mak Mandin, Butterworth.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, selain boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Dalam kejadian 14 November lalu, mangsa yang bekerja sebagai operator kilang ditemukan jirannya dalam keadaan berlumuran darah sebelum dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Seberang Jaya.





