Wanita maut, tiga kanak-kanak dan lelaki OKU cedera kemalangan

SEORANG wanita maut manakala lima yang lain termasuk tiga kanak-kanak dan seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah van dan lori di Kilometer 55.1, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, awal pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.13 tengah malam.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Pegawai Bomba Kanan II Shoromi Salih berkata, lima anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi sejauh 51 kilometer selepas menerima maklumat berkenaan.

“Pasukan tiba di lokasi pada jam 12.54 tengah malam dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah van jenis Toyota dan lori Isuzu.

“Terdapat enam mangsa berada di dalam van berkenaan,” katanya dalam kenyataan, pagi tadi.

Beliau berkata, lima penumpang van yang cedera terdiri daripada seorang lelaki dewasa, seorang lelaki OKU, seorang kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.

Katanya, kesemua mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba.

“Seorang wanita yang juga pemandu van disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit di bahagian pemandu.

“Mangsa kemudian berjaya dikeluarkan anggota bomba menggunakan peralatan khas penyelamatan,” katanya.

Shoromi berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Katanya, kesemua mangsa yang cedera diberikan rawatan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sementara itu, pemandu lori Isuzu dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here