17 inisiatif keselamatan lapangan terbang diperluas ke pangkalan udara TUDM

KAWALAN keselamatan di pangkalan udara dan fasiliti ketenteraan bakal dipertingkat menerusi peluasan 17 inisiatif keselamatan yang sebelum ini dilaksanakan di lapangan terbang komersial.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri bersetuju supaya inisiatif membabitkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MoT) itu turut diperluas kepada Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, langkah berkenaan bertujuan memperketat kawalan terhadap aset dan kemudahan ketenteraan susulan pendedahan kes penyalahgunaan aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk kegiatan penyeludupan dadah.

Fahmi berkata, pelaksanaan 17 inisiatif berkenaan sebelum ini menunjukkan keberkesanan dalam mengesan cubaan pihak tertentu menyalahgunakan saluran atau laluan di lokasi strategik.

Bagaimanapun, katanya, kawalan itu belum meliputi pangkalan udara serta fasiliti dan premis yang berada di bawah pengurusan MINDEF.

“17 inisiatif itu dilihat memberi kesan yang baik terutama untuk mengesan pihak-pihak yang ingin menyalahgunakan saluran ataupun laluan tersebut.

“Tapi ia tidak termasuk pangkalan-pangkalan udara dan juga fasiliti-fasiliti, premis-premis yang diselenggara, diuruskan di bawah pentadbiran Kementerian Pertahanan.

“Maka Jemaah Menteri telah bersetuju bahawa 17 inisiatif yang dilaksana antara KDN, MOT akan diperluas untuk melibatkan juga pihak MINDEF,” katanya dalam sidang media Pasca Mesyuarat Kabinet di Kementerian Komunikasi di Putrajaya hari ini, lapor Buletin TV3.

Mengulas pelaksanaan langkah berkenaan, Fahmi berkata, kerajaan mahu ia dilakukan dalam kadar segera memandangkan kegiatan penyeludupan dadah yang sedang disiasat pihak berkuasa itu dipercayai sudah berlaku sejak 2024.

Katanya, kerajaan tidak mahu kemudahan dan aset ketenteraan yang diperuntukkan bagi mempertahankan negara dieksploitasi untuk kepentingan jenayah.

Hari ini, tiga pegawai TUDM bersama tiga orang awam didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam atas pertuduhan mengedar dadah menggunakan aset TUDM.

Kesemua mereka berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan, jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dikenakan tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan itu susulan penahanan 11 individu, terdiri daripada lima pegawai dan anggota TUDM serta enam orang awam dalam operasi di sekitar Lembah Klang dan Labuan pada 17 November lalu kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan dadah menggunakan aset TUDM.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here