SEMUA projek dan inisiatif yang diluluskan menerusi Belanjawan 2027 perlu memulakan pelaksanaan seawal 1 Januari depan bagi memastikan peruntukan kerajaan dapat dimanfaatkan tanpa sebarang kelewatan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan supaya kementerian dan agensi berkaitan mengambil langkah segera bagi melaksanakan perancangan yang sudah ditetapkan.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, arahan itu bertujuan memastikan setiap peruntukan yang diluluskan dapat dibelanjakan secara berkesan serta memberi manfaat kepada kumpulan sasar.
“Yang Amat Berhormat Perdana Menteri juga telah menyatakan sebelum ini bahawa dari segi pelaksanaan, beliau tidak mahu berlengah dan telah mengarahkan supaya kerja-kerja apa yang telah dirancang boleh bermula seawal satu ataupun dua hari bulan Januari 2027.
“Beliau amat menghargai komitmen semua pihak yang terlibat untuk memastikan agenda pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat terus diberi keutamaan,” katanya dalam sidang media Pasca Mesyuarat Kabinet di Kementerian Komunikasi di Putrajaya hari ini, lapor Buletin TV3.
Fahmi berkata, kerajaan turut merakamkan penghargaan kepada semua Ahli Parlimen yang memberikan sokongan sehingga Belanjawan 2027 diluluskan, selain mengambil kira pandangan dan maklum balas yang dikemukakan sepanjang perbahasan di peringkat dasar serta jawatankuasa.
Menurutnya, kerajaan mahu memastikan wang rakyat yang diperuntukkan bagi tahun depan digunakan secara terancang untuk menjayakan pelbagai program pembangunan dan kebajikan.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, Jemaah Menteri turut dimaklumkan mengenai penganjuran Majlis Sama’ Hadis Sunan at-Tirmizi dan asy-Syama’il al-Muhammadiyyah di Masjid Putra, Putrajaya, dari 13 hingga 23 November lalu.
Beliau berkata, program berkenaan mendapat penyertaan lebih 40 ulama antarabangsa dan disifatkan sebagai satu pencapaian membanggakan negara.
“Lebih 40 ulama antarabangsa telah turut serta dalam majlis tersebut dan ini merupakan satu kebanggaan untuk negara kita.
“Kita dah biasa dengan khatam al-Quran dan hafazan tetapi untuk Majlis Sama’ Hadis ini merupakan usaha oleh sebuah kerajaan, usaha pertama oleh sebuah kerajaan yang telah diiktiraf oleh para ulama yang hadir,” katanya.
Menurut Fahmi, penganjuran berkenaan turut mendapat pengiktirafan sebagai usaha pertama seumpamanya dilaksanakan oleh sebuah kerajaan.





