Google, YouTube culas, lewat tangani aduan judi dalam talian – Fahmi

TINDAKAN culas serta kelewatan Google dan YouTube mengambil tindakan terhadap kandungan perjudian dalam talian yang dilaporkan, termasuk aduan tertangguh melebihi 90 hari, mendorong Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat teknologi itu.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, terdapat aduan yang masih tidak diketahui status penyelesaiannya walaupun kandungan berkenaan dilaporkan berulang kali kepada pihak platform.

Menurut beliau, keadaan itu menunjukkan keperluan untuk memastikan Google dan YouTube mematuhi kerangka kawal selia yang ditetapkan di negara ini.

“Ada yang mengambil masa lebih 90 hari, ada yang sehingga hari ini tidak diketahui statusnya, walaupun sifat kandungan itu berulang.

“Kebiasaannya pihak MCMC bila difailkan sesuatu kandungan, biasanya dia adalah kandungan yang serupa berkait dengan judi dalam talian.

“Tapi pihak Google, pihak YouTube masih mengingkari, maka ini satu langkah yang MCMC telah pilih untuk memastikan dari segi kepatuhan pihak YouTube kepada kerangka kawal selia yang ada itu dilaksana dengan baik,” katanya.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata demikian dalam sidang media Pasca Mesyuarat Kabinet di Kementerian Komunikasi di Putrajaya hari ini, lapor Buletin TV3.

MCMC pada 25 November lalu memaklumkan pihaknya memfailkan dua tindakan undang-undang terhadap Google LLC dengan tuntutan ganti rugi keseluruhan RM600 juta.

Tindakan pertama berkaitan dakwaan kegagalan Google mengambil langkah sewajarnya bagi menangani kandungan memudaratkan, termasuk perjudian dalam talian dan penipuan.

Sementara itu, tindakan kedua membabitkan dakwaan penerbitan semula kandungan oleh penulis blog, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali sebagai Papagomo yang didakwa melanggar undang-undang.

Bagi setiap saman, MCMC menuntut ganti rugi RM300 juta yang merangkumi RM100 juta ganti rugi am, RM100 juta ganti rugi teruk dan RM100 juta ganti rugi teladan.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kebimbangan tindakan undang-undang itu boleh memberi kesan kepada pelaburan Google di Malaysia yang bernilai RM15 bilion, Fahmi menjelaskan kedua-dua perkara berkenaan tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here