MITI runding isu buruh paksa, lebihan kapasiti produk dengan AS – Fahmi

MALAYSIA sedang mengadakan rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) bagi menjelaskan beberapa isu perdagangan yang dibangkitkan negara itu, khususnya berkaitan dakwaan buruh paksa dan lebihan kapasiti produk dalam pelaksanaan tarif terhadap Malaysia.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkembangan rundingan itu dimaklumkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani kepada Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

Menurutnya, perbincangan antara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dengan rakan sejawat di AS ketika ini turut memberi perhatian kepada isu lebihan kapasiti produk atau excess capacity.

“Ada yang melibatkan apa disebut sebagai forced labour ataupun buruh paksa dan juga excess capacity ataupun lambakan produk-produk dan barangan.

“Beliau telah memaklumkan bahawa terutama dalam bidang ataupun dalam isu berkaitan dengan lambakan ataupun excess capacity ini, pihak MITI sedang mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan sejawat di AS untuk memberi penerangan, penjelasan bagi menjawab beberapa perkara yang dibangkitkan oleh pihak AS,” katanya.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata demikian dalam sidang media Pasca Mesyuarat Kabinet di Kementerian Komunikasi di Putrajaya hari ini, lapor Buletin TV3.

Mengulas persediaan kerajaan sekiranya Washington mengambil keputusan mengenakan tarif tambahan terhadap Malaysia, Fahmi berkata, sebarang langkah kontingensi belum dibincangkan secara khusus dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

Katanya, persoalan berhubung kemungkinan penyediaan bantuan kewangan atau sokongan kepada pengeksport tempatan yang terkesan dengan perkembangan itu boleh diajukan terus kepada MITI.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here