POLIS menahan seorang lelaki disyaki berperanan sebagai runner atau penghantar dan penjaga stor dadah serta merampas bahan terlarang itu bernilai lebih RM187,000 dalam serbuan di Tanjung Lumpur, Kuantan, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Ashari Abu Samah berkata suspek berusia 24 tahun itu diberkas dalam serbuan di sebuah lif kediaman di Jalan Tanjung Lumpur kira-kira 12 tengah hari pada 25 Nov, hasil maklumat dan risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Kuantan.
Beliau berkata pemeriksaan terhadap suspek menemukan dua batang rokok mengandungi ketamin seberat 1.56 gram sebelum polis menyerbu sebuah apartmen dan merampas pelbagai jenis dadah.
“Antara dadah yang dirampas ialah Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat lebih 7.4 kilogram, ketamin (63.31 gram), pil ekstasi (9.07 gram) dan cecair MDMA (17.02 liter),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ashari berkata suspek dipercayai menerima bekalan dadah daripada seorang lelaki di Kuala Lumpur dan bertindak berdasarkan arahan menerusi aplikasi Telegram.
Beliau berkata suspek mempunyai 15 rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan jenayah manakala polis turut menyita sebuah kenderaan bernilai kira-kira RM36,000.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan kenderaan dianggarkan RM223,529. Jika dadah itu terlepas ke pasaran, ia boleh membahayakan 27,839 individu,” katanya.
Beliau berkata suspek direman tujuh hari bermula semalam hingga 2 Dis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B, 39A(2), 39A(1), 12(2) dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.





