SATU laporan sulit yang disediakan oleh badan penyelia kerajaan Amerika Syarikat (AS) mendapati unit-unit tentera Israel telah melakukan “ratusan” kemungkinan pelanggaran undang-undang hak asasi manusia di Semenanjung Gaza.
Pendedahan itu dilaporkan oleh The Washington Post semalam, memetik dua pegawai AS yang mengetahui kandungan dokumen berkenaan.
Menurut laporan tersebut, penemuan oleh Pejabat Pemeriksa Am Jabatan Negara (State Department’s Office of Inspector General) itu menandakan kali pertama kerajaan AS mengakui skala tindakan tentera Israel yang berada di bawah bidang kuasa Undang-Undang Leahy (Leahy Laws) – undang-undang yang melarang Washington memberi bantuan keselamatan kepada unit tentera asing yang dipercayai terlibat dalam pelanggaran hak asasi manusia berat.
Pegawai AS yang enggan dikenali memberitahu, skala pelanggaran yang dikenal pasti begitu besar sehingga dijangka mengambil masa “beberapa tahun” untuk disemak sepenuhnya oleh Jabatan Negara.
“Apa yang membimbangkan saya ialah kebertanggungjawaban mungkin akan dilupakan apabila konflik semakin reda,” kata Charles Blaha, bekas pegawai kanan Jabatan Negara yang pernah mengetuai pelaksanaan Undang-Undang Leahy.
Laporan itu disiapkan hanya beberapa hari sebelum Israel dan Hamas mencapai perjanjian gencatan senjata yang membawa kepada pembebasan baki tebusan Israel yang masih hidup sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin, serta pengunduran sebahagian tentera Israel dan kemasukan terhad bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Bagaimanapun, meskipun gencatan senjata diumumkan, serangan udara Israel pada Selasa lalu telah membunuh sekurang-kurangnya 104 rakyat Palestin, menjadikannya hari paling berdarah sejak perjanjian itu dicapai, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Undang-Undang Leahy, dinamakan sempena bekas Senator Patrick Leahy dari Vermont, mewajibkan kerajaan AS menghentikan bantuan ketenteraan kepada mana-mana unit asing yang didapati terlibat dalam pembunuhan di luar undang-undang, penyeksaan dan pelanggaran serius lain.
Perang berterusan Israel ke atas Gaza yang telah meragut hampir 70,000 nyawa rakyat Palestin sejak Oktober 2023 kini menjadi ujian terbesar terhadap pelaksanaan undang-undang tersebut.
Antara kes utama yang sedang disiasat termasuk pembunuhan tujuh pekerja bantuan World Central Kitchen pada April 2024, dan pembunuhan lebih 100 rakyat Palestin serta mencederakan 760 yang lain ketika berebut bantuan di sekitar trak makanan berhampiran Bandar Gaza pada Februari 2024.
Pentadbiran Presiden Joe Biden sebelum ini mengakui kedua-dua insiden dalam laporan kepada Kongres, namun belum mencapai kesimpulan sama ada senjata AS digunakan dalam serangan tersebut.
AS menyalurkan sekurang-kurangnya AS$3.8 bilion (RM18 bilion) setahun dalam bentuk bantuan ketenteraan kepada Israel, selain puluhan bilion dolar tambahan yang diluluskan dalam beberapa tahun kebelakangan ini menjadikan Israel penerima bantuan luar terbesar dalam sejarah AS.
The Washington Post turut mendedahkan kewujudan satu protokol khas dikenali sebagai “Israel Leahy Vetting Forum”, yang memberikan Israel kelebihan istimewa dalam proses semakan kes pelanggaran hak asasi manusia.
Sistem itu, diwujudkan oleh beberapa pentadbiran AS terdahulu, membabitkan pegawai berpangkat tinggi serta proses semakan yang lebih panjang berbanding negara lain yang menghadapi tuduhan serupa.
“Setakat ini, AS tidak pernah menahan sebarang bantuan kepada mana-mana unit tentera Israel walaupun terdapat bukti jelas,” kata Josh Paul, bekas pegawai Jabatan Negara dan pengkritik dasar AS terhadap Timur Tengah.
Menurutnya, bagi negara lain, satu bantahan oleh seorang pegawai AS sudah mencukupi untuk menghentikan bantuan tentera, tetapi dalam kes Israel, satu kumpulan kerja khas perlu mencapai kata sepakat sebelum sebarang tindakan boleh diambil.
Kumpulan itu termasuk pegawai dari Kedutaan AS di Baitulmaqdis dan Biro Hal Ehwal Timur Dekat, dua entiti yang menurut laporan itu “sering menjadi penyokong utama Israel dalam sistem pentadbiran AS”.
Dalam satu kes lain, pentadbiran Biden menolak untuk menggantung bantuan kepada unit tentera Israel yang terlibat dalam kematian Omar Assad, warga Palestin-Amerika berusia 78 tahun yang meninggal dunia selepas diikat dan mulut disumbat oleh tentera Israel di sekatan jalan di Tebing Barat pada 2022.
Pentadbiran AS menyatakan pihaknya berpuas hati dengan langkah disiplin dalaman Israel, dengan alasan bahawa anggota tentera terbabit “tidak lagi berkhidmat”.
Blaha turut menyatakan beliau “tidak melihat sebarang perbezaan antara pentadbiran Biden dan Trump dalam isu ini.”
The Washington Post menambah bahawa walaupun bekas Presiden Donald Trump telah memecat ramai penyelia kerajaan termasuk pemeriksa am, pentadbirannya tetap meneruskan beberapa siasatan termasuk dakwaan bahawa Hamas menyelewengkan bantuan kemanusiaan di Gaza.
UNDILAH |
[socialpoll id=”2974793″]



