EMPAT lelaki berusia antara 43 hingga 67 tahun ditahan selepas polis merampas 3.179 kilogram (kg) dadah jenis ganja dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Bukit Wang, Kampung Manggol di Jitra pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, serbuan kira-kira jam 9.50 malam itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu hasil maklumat risikan.
Menurutnya, kumpulan yang dikenali sebagai Geng Tok Wan itu dipercayai aktif dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar daerah berkenaan.
“Ketika polis memperkenalkan diri, seorang lelaki yang berada di ruang tamu rumah berkenaan cuba melarikan diri ke bahagian belakang sebelum berjaya diberkas.
“Pemeriksaan mendapati suspek membawa satu bungkusan plastik berwarna merah hitam yang mengandungi tiga bungkusan plastik berpelekat berisi tumbuhan mampat disyaki dadah jenis ganja seberat 3.119 kg,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu di Jitra hari ini, lapor Sinar Harian.
Mohd Radzi berkata, pemeriksaan lanjut di rumah berkenaan turut menemukan dadah jenis bunga ganja seberat 8.58 gram serta satu bungkusan tumbuhan mampat disyaki ganja seberat 51.45 gram.
Katanya, keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan seberat 3.179kg dengan nilai pasaran RM9,600.
“Keempat-empat suspek berusia 43, 51, 61 dan 67 tahun itu mempunyai latar belakang pekerjaan berbeza, termasuk penganggur, peniaga dan pemandu lori.
“Polis percaya suspek berusia 61 tahun merupakan ketua kumpulan berdasarkan tindakannya cuba melarikan diri bersama bungkusan dadah ketika serbuan dilakukan,” katanya.
Beliau berkata, tiga lagi suspek ditahan ketika berada di ruang tamu rumah berkenaan, manakala dua bungkusan dadah lain ditemukan di kawasan itu yang dipercayai digunakan untuk aktiviti menghisap dan membungkus dadah.
Hasil risikan awal mendapati bekalan dadah berkenaan dipercayai diperoleh daripada pengedar tempatan sebelum diedarkan bagi pasaran sekitar Kubang Pasu.
“Keempat-empat suspek didapati positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC) menerusi ujian saringan air kencing.
“Polis masih mengesan individu yang dipercayai membekalkan dadah berkenaan bagi melengkapkan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Mohd Radzi berkata, bunga ganja mempunyai harga pasaran lebih tinggi berbanding ganja mampat dengan anggaran RM35,000 sekilogram berbanding RM2,500 sekilogram.
Katanya, perbezaan harga itu disebabkan kuantiti bunga ganja yang lebih terhad pada setiap pokok berbanding daun yang digunakan untuk menghasilkan ganja mampat.





