PERINTAH tahanan reman ke atas pasangan suami isteri yang hilang sejak 20 Julai lalu sebelum menyerah diri kepada polis pada Khamis lalu, disambung dua hari lagi bagi membantu polis melengkapkan siasatan.
Pasangan berusia 39 dan 36 tahun itu disambung reman bermula hari ini selepas direman selama empat hari sejak Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, kedua-dua mereka kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Media sebelum ini melaporkan, tiga beranak dilaporkan hilang dan gagal dihubungi selepas keluar dari rumah mereka di Taman Desa Bayanmas, Bukit Kayu Hitam sejak 20 Julai lalu.
Bapa wanita berusia 62 tahun itu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Kayu Hitam pada Isnin lalu.
Polis tidak menolak kemungkinan kehilangan mereka mempunyai kaitan dengan hutang bermain kutu susulan laporan polis diterima daripada seorang lelaki berusia 23 tahun yang mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM25,000.
Pasangan berkenaan menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu pada awal pagi Khamis lalu, kira-kira jam 1.50 pagi dan ditahan reman empat hari.






