Lebih 19 ahli Parlimen Bersatu tak setuju Hamzah dipanggil, Wan Saiful dipecat, Wan Fayhsal digantung

AHLI Parlimen Indera Mahkota Datuk Saifuddin Abdullah memberi gambaran kemungkinan lebih 19 daripada 25 Ahli Parlimen Bersatu tidak bersetuju dengan tindakan disiplin yang dikenakan terhadap tiga ahli Parlimen termasuk Timbalan Presiden, Datuk Hamzah Zainudin.

Ini selepas pendedahan surat bertarikh 23 Okt yang dihantar kepada Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengandungi tandatangan 16 ahli Parlimen Bersatu yang membantah tindakan lembaga disiplin parti memanggil Hamzah, selain pemecatan Wan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan penggantungan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal,.

Saifuddin berkata, mengambil kira 16 ahli parlimen itu, selain Wan Saiful, Wan Fayhsal dan Hamzah sendiri, sekurang-kurangnya 19 tidak bersetuju dengan tindakan lembaga disiplin parti.

Namun, katanya, angka itu mungkin lebih daripada 19.

“Kami sengaja tidak approach dua orang Naib Presiden yakni Ronald Kiadee dan Datuk Dr Radzi Jidi. Jadi, apa maksudnya… maksudnya daripada 25 ahli Parlimen sekurang-kurangnya 19 tak bersetuju apa yang sedang berlaku.

“Jadi, dia mungkin lebih 19 (ahli Parlimen) kan (jika termasuk dua naib presiden). Sengaja kita tak approach,” katanya di Ampang, hari ini, lapor Malaysiakini.

Semalam tular satu surat yang dihantar kepada Muhyiddin sebagai luahan rasa kebimbangan terhadap tindakan disiplin yang dikenakan terhadap tiga ahli parlimen Bersatu.

Berdasarkan surat itu ahli Parlimen yang menandatanganinya selain Saifuddin ialah ialah Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor, Muhammad Islahuddin Abas (Mersing), Fathul Huzir Ayob (Gerik), Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu),Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah),Datuk Abdul Khalib Abdullah (Rompin) dan Nordin Ahmad Ismail (Lumut).

Selain itu, Zakri Hassan (Kangar); Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu); Datuk Muslimin Yahaya (Sungai Besar); Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah); Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu); Azahari Hasan (Padang Rengas); Kalam Salan (Sabak Bernam); dan Mohd Nazri Abu Hassan (Merbok).

Menurut surat berkenaan, tindakan memecat Wan Saiful dan menggantung Wan Ahmad Fayhsal adalah tidak bijak mengganggu momentum sokongan rakyat selain boleh menggugat usaha Perikatan Nasional (PN) mencapai kemenangan dalam PRN Sabah.

Sementara itu, Saifuddin ketika ditanya kemungkinan tindakan disiplin terhadapnya kerana mendesak Muhyiddin berundur berkata beliau bersedia menghadapi sebarang tindakan.

Namun beliau tetap menganggap gesaannya tidak bercanggah dengan peraturan parti.

Bahkan katanya, Muhyiddin juga pernah mendesak bekas Presiden UMNO, Tun Abdullah Ahmad Badawi berundur ketika di dalam UMNO suatu masa dahulu.

“Ini risiko yang terpaksa dihadapi, saya bersedia, sebab pada saya, saya tak buat apa-apa…meminta Presiden berundur tidak menyalahi Perlembagaan (Bersatu).

“Dalam Perlembagaan Malaysia hak bersuara dijamin dan Muhyiddin sendiri pernah minta Pak Lah berundur, jadi apa masalah dia,” katanya lagi.


 

UNDILAH

Loading poll ...

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img