‘’TOLONG jangan ubah sejarah’’ – itulah reaksi Khairy Jamaluddin apabila memberi reaksi terhadap kenyataan Pengerus BN Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar yang mengingatkan bekas Ketua Pemuda UMNO itu jika kembali kepada parti tersebut jangan meninggalkan UMNO sekali lagi.
Melalui akaun Instagramnya, Khairy menegaskan beliau tidak pernah meninggalkan UMNO, sebaliknya dipecat oleh kepimpinan parti.
“Sementara itu, ada beberapa pihak yang memberi komen tentang berita tersebut, biar saya jelaskan, saya tidak pernah meninggalkan UMNO, kalian yang memecat saya. Tolong jangan cuba mengubah sejarah. Bukti banyak di internet, jangan buta huruf sangat,” katanya lagi.
Isu penyertaan kembali Khairy ke dalam UMNO mula diperkatakan apabila beliau dikatakan mendapat restu Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk berbuat demikian.
Namun sehingga hari ini bekas Menteri Kesihatan itu belum menghantar borang menyertai UMNO.
Dalam reaksi melalui media sosial itu juga, Khairy yang dipecat daripada UMNO padan 24 Januari 2023 meminta diberikan tempoh masa selama beberapa minggu sebelum bersedia menjawab mengenai hasratnya untuk menyertai semula parti berkenaan.
Beliau berkata, tempoh itu diperlukan selepas menerima banyak pertanyaan bagi mendapatkan penjelasannya berhubung perkara tersebut.
“Ramai yang telah menghantar mesej bertanya apa yang sedang berlaku? Beri saya beberapa minggu sebelum saya bersedia untuk menjawab,” katanya
UNDILAH |



