DERUMAN 6,000 enjin motosikal berkuasa tinggi telah memeriahkan program Unite 4 Gempa Bumi yang diadakan buat julung-julung kalinya sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) semalam.
Program yang dianjurkan oleh Violent Storm MG dengan kerjasama 32 buah kelab motosikal berkuasa tinggi dari seluruh negara itu berjaya menarik lebih 10,000 orang pengunjung bukan sahaja pemilik motosikal malah orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Mereka teruja menyaksikan koleksi motosikal berkuasa tinggi dalam pelbagai saiz dan rekaan.
Beberapa aktiviti juga disediakan bagi memeriahkan suasana. Antara termasuklah forum diskusi motosikal, persembahan kebudayaan serta cabutan bertuah yang menawarkan hadiah bernilai lebih RM15,000 yang bermula pada pukul 11 pagi hingga 12 tengah malam.

Pengerusi penganjur, Nazatul Amin Jaffar berkata, program ini dilaksanakan bagi menyemarakkan semangat patriotisme dan menepis tanggapan negatif serta stigma masyarakat terhadap penunggang motosikal yang dianggap tidak berdisiplin dan kurang bermoral.
“Matlamat dan harapan kami juga adalah menyatukan semua kelab motosikal tempatan yang mempunyai semangat cintakan negara dan berjiwa patriotik serta jati diri yang tinggi terhadap budaya dan bangsa kita,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut gembira memandangkan program itu turut mendapat sokongan dan penyertaan dari Indonesia, Singapura dan Thailand sehingga berjaya mengumpul hampir 6,000 buah motosikal sepanjang dua hari ia diadakan.

Sementara itu, peserta Unite 4 Gempa Bumi menyifatkan program itu sangat bermakna kepada penggemar motosikal berkuasa tinggi dalam menyambut hari kebangsaan dengan semangat patriotik sebagai tanda cinta dan sayang kepada tanah air.
Ketua Kelab Motosikal Skyhawk Malaysia, Muhamad Irwan Muhamad Mustafa berkata program itu juga merapatkan lagi ukhuwah dalam kalangan anggota sambil beriadah dengan aktiviti berfaedah pada hari kelepasan umum.
“ Program ini amat baik kerana kami dapat berkumpul dan berkongsi minat yang sama, saya berharap pada tahun hadapan ia dapat dianjurkan lagi,” katanya.


