Pusat kesihatan jadi port aktiviti songsang, 17 penjawat awam antara 208 ditahan

SEBANYAK 17 orang penjawat awam merupakan antara 208 individu yang ditahan polis dalam serbuan di sebuah kelab kesihatan yang dipercayai dijadikan lokasi aktiviti seksual songsang di kawasan Chow Kit, di ibu negara malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Azani Omar berkata, operasi pada jam 8 malam itu dilaksanakan KL Strike Force Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), selepas dua minggu risikan dan pemantauan.

“Kami menahan keseluruhannya 201 pengunjung dan tujuh pekerja berumur antara 19 hingga 60 tahun, termasuk 24 warga asing.

“Kami turut merampas kondom dan beberapa peralatan lain dipercayai digunakan untuk tujuan tidak bermoral,” katanya pada sidang media di lokasi, selepas operasi selama hampir empat jam itu tamat, lapor Bernama.

Beliau berkata, premis dua tingkat terbabit beroperasi sejak lapan hingga 10 bulan lepas, dan dibuka mulai jam 5 petang hingga 11 malam pada hari bekerja, manakala pada hujung minggu bermula dari 3 petang hingga 11 malam.

Mohd Azani memberitahu, pusat kesihatan berkenaan mempromosikan premis itu melalui media sosial seperti TikTok serta hebahan daripada pelanggan tetap.

“Pengunjung dikenakan bayaran RM35 setiap kemasukan, manakala pelanggan baharu perlu membayar RM10 sebagai yuran pendaftaran sebelum menerima kad keahlian,” katanya.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk ujian saringan air kencing dan siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan kerana hubungan seks bertentangan dengan aturan tabii, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan,” katanya.

Tinjauan di lokasi mendapati pengunjung terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk golongan profesional, pelajar dan pelancong asing, dengan kebanyakannya mengakui mereka mengetahui tentang premis itu melalui media sosial.

Suasana kelam-kabut turut berlaku apabila sebahagian pengunjung cuba menutup muka dan beredar bagi mengelakkan identiti mereka dirakam, namun tidak berjaya meloloskan diri.

Pemerhatian turut mendapati premis berkenaan mempunyai beberapa ruang tertutup termasuk bilik kecil, kawasan separa gelap, selain kemudahan sauna dan jakuzi yang dipercayai menjadi tarikan utama pengunjung.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img