SEORANG pemandu lori maut, manakala dua lagi terselamat dalam kemalangan melibatkan tiga lori di Kilometer 146, Lebuhraya Utara Selatan, di Perai hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.52 pagi sebelum sepasukan bomba bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai digerak ke lokasi kemalangan.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) mendapati kemalangan melibatkan tiga kenderaan iaitu sebuah lori Bonded dan dua lori kontena dengan pemandu lori Bonded tersepit di ruang pemandu.
“Pihak PKO bertindak menjalankan kerja menyelamat dan berjaya mengeluarkan lelaki itu yang tersepit menggunakan peralatan khas pada jam 6.29 pagi, sebelum mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) yang turut berada di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dua pemandu lori kontena yang terbabit kemalangan itu tidak cedera dan berjaya keluar daripada kenderaan masing-masing.
Katanya, mayat mangsa berusia 35 tahun kemudian dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.


