MAHA 2026 ubah persepsi pertanian, perkasa industri hiliran

PENGANJURAN Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang akan berlangsung pada 28 Ogos hingga 6 September tahun depan merupakan platform penting kerajaan untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap sektor pertanian yang selama ini dianggap konservatif.

Setiausaha Bahagian Industri Makanan dan Asas Tani, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Dr Mohd Haniff Hassan berkata, MAHA 2026 berperanan mempertemukan petani, penternak, peladang serta agensi kerajaan dengan orang awam bagi menonjolkan keupayaan sebenar industri asas tani yang kini semakin moden dan berdaya saing.

DATUK Dr Mohd Haniff Hassan

Menurut beliau, penganjuran itu bukan sahaja mempamerkan keseluruhan aktiviti pertanian, malah bertujuan menunjukkan perubahan signifikan sektor tersebut yang kini didorong teknologi serta inovasi bernilai tinggi.

“Tujuan kita anjurkan MAHA 2026 kerana kita ingin mengubah perspektif rakyat yang selama ini melihat pertanian sebagai satu bidang yang terlalu konservatif dan konvensional serta tidak memberi apa-apa pulangan,” katanya ketika ditemui utusanmelayuplus pada Majlis Prapelancaran MAHA 2026 di MAEPS Serdang, Selangor hari ini.

Mengulas peranan MAHA 2026 dalam memacu pembangunan ekonomi, Mohd Haniff berkata, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM6.8 bilion pada tahun lalu bagi memperkukuh sektor pertanian dari peringkat huluan hingga hiliran dan memastikan rantaian industri tersebut memberi impak langsung kepada pendapatan negara serta pengusaha.

Tambahnya, MAHA 2026 turut menjadi platform yang memperluas jaringan pasaran apabila melibatkan penyertaan perwakilan asing yang dapat membuka ruang promosi dan padanan perniagaan bagi produk tempatan ke pasaran antarabangsa.

“Melalui MAHA 2026 ini, kita melibatkan perwakilan-perwakilan asing yang menjadi wadah untuk menggalakkan pasaran atau promosi ke luar negara bagi produk pertanian kita.

“Dahulu, pertanian dilihat sebagai sesuatu yang kotor dan tidak menarik, tetapi sebenarnya sektor ini mampu memberi pulangan yang tinggi,” katanya.

Mohd Haniff berkata, penglibatan pelbagai kaum dalam sektor pertanian perlu diperkukuh kerana kepelbagaian tersebut memberikan kelebihan kompetitif kepada Malaysia dalam pasaran domestik dan antarabangsa.

“Pasaran kita luas dan tidak terbatas kepada satu kelompok. Produk makanan merentas budaya boleh dikembangkan, khususnya dalam segmen halal yang terus mendapat permintaan tinggi,” jelasnya.

Ujarnya, MAHA 2026 kekal sebagai platform utama bagi memperkenalkan inovasi, membuka peluang pasaran dan meningkatkan keupayaan pengusaha dalam sektor agromakanan negara.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img