PENGARAH Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Aminudin Shari mendakwa, berlaku peningkatan sokongan terhadap pakatan itu khususnya dalam kalangan pengundi Melayu dan anak muda, namun tidak mencukupi mencatat kemenangan pada PRN Melaka.
Katanya, peningkatan sokongan itu antara perkembangan positif direkodkan gabungan itu di sebalik hanya menang empat daripada 28 kerusi dipertandingkan, lapor Berita Harian.
“Ada beberapa pertambahan yang agak positif dalam parti-parti, khususnya undi Melayu yang boleh kita bincangkan.
“Tetapi belum cukup kerana ia bukan soal gabungan atau sokongan kepada gabungan, tetapi bagaimana penjajaran politik harus difikirkan untuk membentuk sebuah kerajaan,” katanya.
Amirudin berkata kejayaan membentuk kerajaan di Malaysia kini memerlukan kerjasama bukan sekadar antara parti politik, tetapi antara gabungan.
Menurutnya, perkara itu perlu diberi perhatian serius oleh kepimpinan politik dalam merangka strategi menghadapi pilihan raya akan datang.
“Tapi akhirnya di Malaysia, resipi kejayaan untuk kerajaan adalah melalui gabungan ataupun melalui koalisi yang berjaya,” katanya.





