Adegan sembilan tahun lalu dalam UMNO, kini ‘diulang tayang’ dalam Bersatu

SEMALAM tiga lagi ketua bahagian Bersatu dipanggil oleh Lembaga Disiplin parti itu. Awal-awal lagi ada yang sudah meramalkan mereka akan memanjangkan senarai ketua bahagian yang dipecat atau digantung daripada parti berusia sembilan tahun itu.

Pada masa sama, semalam juga, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa sasaran Lembaga Disiplin Bersatu  adalah untuk mengenakan tindakan terhadap Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang juga Ketua Pembangkang.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, ketika dipanggil Lembaga Disiplin sebelum ini, beliau ditanya mengenai peranan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

“Sebenarnya sasaran utama Lembaga Disiplin adalah mereka mahu tindakan dikenakan kepada Ketua Pembangkang. Sebab itu kami yang dikenakan tindakan disiplin ini hanyalah ‘collateral’ (cagaran) sebenarnya.

“Sasaran utama adalah Hamzah Zainuddin. Sebab itulah kami buat sidang media di sini sebab saya rasa rakyat dan ahli Bersatu perlu tahu, apa yang ada hari ini dalam Bersatu ialah kepincangan luar biasa. Malangnya, perkara ini dibiarkan berterusan oleh presiden kami sendiri. Ini satu yang mengecewakan,” dakwanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Penulis tertanya-tanya kenapa Bersatu secara tiba-tiba menjadi huru-hara hanya kerana terdapat  ketua bahagian menandatangani akuan bersumpah yang mahu Tan Sri Muhyiddin Yassin melakukan peralihan kuasa.

Tindakan mereka ditafsirkan sebagai gerakan mahu menjatuhkan Presiden. Lanjutan seorang demi seorang dipanggil mengadap Lembaga Displin dengan hukuman hampir pasti digantung atau dipecat.

Melihat kepada kekalutan yang berlaku dalam Bersatu sekarang,  penulis teringat kembali apa yang terjadi dalam UMNO sembilan tahun lalu apabila pada 24 Jun 2016, Muhyiddin dipecat daripada UMNO semata-mata membangkitkan isu 1MDB.

Ketika itu bukan sahaja Muhyiddin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga dipecat manakala Datuk Seri Mohd Shafie Apdal digantung. Selain itu beberapa pemimpin bahagian juga menerima nasib yang sama.

Kini bagaikan ‘ulang tayang’ senario pecat dan menggantung ini terjadi dalam Bersatu, segalanya hanya kerana dakwaan ada gerakan mahu menjatuhkan Bapak Presiden Pengasas. Dahulu Muhyiddin dipecat kerana bercakap secara terbuka soal 1MDB, oleh itu beliau dianggap melanggar disiplin parti.

Tidak mengapa jika kepimpinan Bersatu merasakan tindakan sedemikian boleh membersihkan dan mengukuhkan parti..teruskanlah tetapi perlu diingat respon di akar umbi termasuk orang Melayu melihat kekalutan dalam Bersatu amat-amat negatif.

Tampilkanlah berapa ramaipun yang mendesak suruh pecat orang itu dan orang ini, kemukakanlah berapa ramaipun membuat kenyataan membela bapak presiden pengasas, namun percayalah ia sama sekali tidak akan menguntungkan Bersatu.

Orang Melayu menjadi menyampah kepada Bersatu yang pada mulanya disandarkan harapan untuk bersaing dengan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional pada PRU-16. Mereka melihat dalam Bersatu hanya perebutan kuasa atau mahu mempertahankan kuasa.

Justeru kalaulah dalam Bersatu atau dalam kalangan lingkungan pemimpin Bersatu merasakan, apa yang berlaku ini akan memperkukuhkan parti itu serta memperkuatkan kedudukan Muhyiddin untuk mendapat sokongan rakyat, percayalah kalian sedang bermimpi, dibuai dengan ilusi, dikhayalkan dengan sindrom penafian.

Kalau benarlah kenyataan Wan Fayhsal bahawa sasaran utama adalah untuk mengenakan Hamzah oleh Lembaga Disiplin, penulis berpendapat lakukan sahaja tindakan itu jika kepimpinan Bersatu benar-benar yakin ia boleh mendatangkan keuntungan besar seperti mana seandainya Khairy Jamaluddin  menyertai UMNO.

Mungkin terlalu awal tetapi seorang kawan berkata kepada penulis, ‘’Penyertaan KJ beri harapan baru terhadap UMNO setelah Bersatu hilang seri kepada orang Melayu’’

Malang sekali, ketika UMNO – parti yang memecat Muhyiddin sembilan tahun lalu mahu menerima kembali pemimpin yang dipecat demi memperkukuhkan parti, Bersatu pula yang ditubuhkan sembilan tahun lalu mahu memecat pemimpin yang pastinya akan melemahkan parti itu.

Apa yang berlaku dalam Bersatu ketika ini sedang menghakis sedikit demi sedikit sokongan rakyat kepada parti itu. Ketika parti lain tenang-tenang sahaja, Bersatu tidak seindah nama, sebaliknya berantakan dan berpecah belah.

Sebenarnya, orang sudah tidak peduli lagi dengan apa yang akan berlaku dalam Bersatu. Ia  kerana mereka tahu semua itu hanyalah usaha beberapa individu yang mahu mempertahankan pemimpin yang mereka masih yakin boleh beri kemenangan kepada parti dalam pilihan raya, walaupun ia sekadar impian.

Ketika ini orang lebih cenderung melihat perkembangan Pas, menanti perubahan dalam UMNO dan menunggu langkah politik oleh Pakatan Harapan.

Selain itu penulis juga percaya Pas tidak akan mampu selama-lamanya bertahan dengan kemelut dalam Bersatu kerana sedikit sebanyak ia akan menjejaskan Perikatan Nasional…sampai masa pasti Pas akan bersuara.

Apapun penulis mahu mengingatkan dalam memecat pemimpin-pemimpin Bersatu tidak kira apapun jawatannya, jangan sampai kata-kata sembilan tahun lalu bergema kembali iaitu; ‘’Saya tidak pernah meninggalkan perjuangan parti atau mengkhianati parti. Saya cuma berkata benar kerana itulah prinsip yang saya junjung dalam perjuangan saya.’’

Kata-kata inilah yang akhirnya menjadi salah satu faktor UMNO kalah teruk dalam pilihan raya 2018, jangan sampai Bersatu juga menerima nasib yang sama dalam PRU-16 nanti apatah lagi kalau melibatkan ‘orang nombor dua’ dalam parti.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img