SEORANG murid lelaki di sebuah maahad tahfiz di Alor Setar mendakwa dipukul dan ditendang pelajar senior berusia 15 tahun sehingga lebam pada muka dan beberapa bahagian badan, baru-baru ini.
Bapa mangsa, Shamsul Azrin Man, 45, berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas mengambil anak tunggalnya yang berusia sembilan tahun pulang bercuti dari maahad tahfiz berkenaan pada 30 Julai lalu.
Dakwa lelaki itu, anaknya yang tinggal di asrama sejak awal tahun ini pada mulanya mendakwa lebam di muka akibat terjatuh.
“Saya dan isteri ternampak lebam pada bahagian kiri muka dan pada awalnya anak mengaku terjatuh tetapi selepas ditanya berkali-kali, anak saya mengaku dia ditumbuk pelajar senior sehari sebelum itu ketika mengelap meja makan di kantin.
“Anak juga beritahu dia ditendang di bahagian belakang sehingga lebam. Sebaik mengetahui kejadian itu, saya terus menghubungi seorang ustaz di maahad itu, namun dia memaklumkan tidak mengetahui tentang kejadian itu,” katanya ketika ditemui di Alor Setar hari ini, lapor BH.
Shamsul Azrin berkata, dia dan isteri kemudian membuat laporan polis sebelum membawa anaknya mendapatkan pemeriksaan di hospital.
“Pemeriksaan mendapati anak saya mengalami lebam, namun tiada kecederaan serius seperti patah tulang. Cuma, anak saya kini trauma dan tidak mahu lagi bersekolah di situ.
Shamsul Azrin berkata, dia akan menukar anaknya ke sekolah agama lain bagi mengelak kejadian yang sama berulang.
“Saya difahamkan, polis menyiasat perkara ini dan pelaku telah dipanggil untuk siasatan. Pihak sekolah juga telah mengambil tindakan menggantung sekolah ke atas pelaku,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan pihaknya sudah merekodkan keterangan pelaku.
“Ketika ini polis sedang menunggu laporan perubatan mangsa daripada doktor,” katanya.





