META mengakui kesilapan teknikal pada sistemnya menyebabkan aktiviti pengguna WhatsApp yang sah disalah anggap sebagai pelanggaran peraturan sehingga akaun mereka digantung.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan berkata kesilapan itu dikenal pasti dalam lebih separuh kes bagi kumpulan pertama yang dikemukakannya kepada Meta untuk semakan.
“Meta mengakui berlaku kesilapan teknikal pada sistemnya sehingga aktiviti pengguna yang sah disalah anggap sebagai pelanggaran peraturan,” kata kenyataan itu.
MCMC sebelum ini memaklumkan pihaknya sedang meneliti aduan isu penggodaman dan penyahaktifan akaun WhatsApp. Suruhanjaya itu turut memohon penjelasan Meta.
MCMC berkata Meta turut memaklumkan masalah teknikal berkenaan telah ditangani pada penghujung September, manakala akaun sah yang terjejas dipulihkan secara proaktif.
Menurut MCMC, pemulihan itu turut membabitkan sebahagian akaun yang belum mengemukakan rayuan kepada WhatsApp.
“Meta turut mengesahkan tiada perubahan dibuat terhadap dasar penguatkuasaan atau terma perkhidmatan WhatsApp,” kata MCMC
Bagaimanapun, menurut MCMC, Meta menjelaskan bukan semua penggantungan akaun berpunca daripada kesilapan teknikal.
‘’Antara faktor lain ialah nombor telefon kitar semula yang pernah dikaitkan dengan akaun disekat, aktiviti spam atau penipuan serta corak penggunaan yang dikesan sistem keselamatan WhatsApp,’’ kata MCMC.
Bagi akaun perniagaan, MCMC berkata Meta memaklumkan penghantaran mesej tanpa persetujuan atau dalam jumlah yang tinggi, khususnya kepada penerima yang bukan dalam senarai kenalan, boleh dikesan sebagai aktiviti spam.
“Pengguna perniagaan disaran mendapatkan persetujuan penerima sebelum menghantar mesej secara pukal,” kata kenyataan tersebut.
MCMC telah meminta Meta menambah baik proses rayuan dan pemulihan akaun supaya pengguna menerima pengesahan, status semakan serta maklumat tindakan dengan lebih jelas dan pantas.
“Pengguna terjejas turut disaran menggunakan saluran rayuan dan sokongan rasmi WhatsApp bagi mendapatkan semula akses kepada akaun mereka.





