AKPS rampas 12 kontena ayam, babi sejuk beku bernilai RM3.42 juta

AGENSI Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) membongkar cubaan membawa masuk makanan sejuk beku secara tidak sah menerusi pengikraran tidak benar dengan merampas 12 kontena berisi produk ayam dan babi bernilai RM3.42 juta di Pelabuhan Sepanggar.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kejayaan itu dicapai menerusi Op Ribat Sepanggar Siri 1/2026 yang dilaksanakan sejak 19 Mei lalu hasil kerjasama strategik bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (DVS) dan Pihak Berkuasa Pelabuhan.

Menurutnya, hasil risikan dan pemeriksaan yang dijalankan pada 16 Julai lalu mendapati kesemua 12 kontena terbabit mengandungi produk ayam dan babi sejuk beku yang dipercayai dibawa masuk ke negara ini melalui pengikraran yang tidak selaras.

“Keseluruhan dagangan itu dianggarkan seberat 348,000 kilogram dengan nilai RM3.422 juta dan dipercayai berasal dari China serta Hong Kong.

“Susulan penemuan itu, AKPS menyita keseluruhan dagangan berkenaan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan serta tindakan penguatkuasaan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu, hari ini, lapor Harian Metro.

Mohd Shuhaily berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana disyaki gagal membuat akuan penuh dan benar selain mengemukakan perakuan atau dokumen yang tidak benar dalam perkara material.

Katanya, jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau dipenjarakan maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau menegaskan AKPS memandang serius sebarang cubaan membawa masuk dagangan secara tidak sah melalui pengikraran palsu atau apa-apa bentuk pelanggaran kawal selia di pintu masuk negara.

“AKPS akan terus memperkukuh kawalan dan pemeriksaan di semua pintu masuk negara menerusi pendekatan penguatkuasaan bersepadu bersama agensi berkaitan.

“Ia bagi memastikan keselamatan sempadan negara sentiasa terpelihara serta pematuhan terhadap undang-undang dapat diperkasakan,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img