JAS ambil tindakan terhadap lapan kilang susulan pencemaran di SILC

JABATAN Alam Sekitar (JAS) Johor mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap lapan premis industri susulan pencemaran air di Kawasan Perindustrian SILC yang menyebabkan timbulan sisa minyak mengalir ke longkang awam dan kolam tadahan berhampiran.

JAS dalam kenyataan memaklumkan tindakan itu diambil menerusi Ops Scum SILC yang dijalankan pada Selasa hingga semalam susulan aduan awam berhubung penemuan timbulan sisa minyak (scum) di permukaan longkang awam.

Menurut kenyataan itu, operasi bersepadu berkenaan membabitkan pemeriksaan terhadap lapan premis industri daripada sektor pemprosesan makanan, cucian komersial, kejuruteraan logam, pembuatan dan penyaduran komponen logam serta premis yang mengendalikan buangan terjadual.

“Hasil penguatkuasaan mendapati beberapa premis melanggar peruntukan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) dan peraturan-peraturan di bawahnya.

“Empat premis dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) mengikut Seksyen 38(1)(a) AKAS 1974 bagi menghentikan pencemaran serta-merta,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, sebanyak lima kompaun berjumlah RM10,000 turut dikeluarkan terhadap dua premis kerana gagal mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

JAS turut mengeluarkan Notis Arahan dan Arahan Lapangan kepada empat premis mengikut Seksyen 31 dan Seksyen 37 AKAS 1974 bagi mengarahkan tindakan pembetulan serta penambahbaikan demi memastikan pematuhan terhadap undang-undang alam sekitar.

Sehubungan itu, pihak industri dan masyarakat diingatkan supaya sentiasa mematuhi AKAS 1974 serta peraturan-peraturan di bawahnya bagi mengelakkan berlakunya pencemaran alam sekitar.

Terdahulu, media melaporkan kira-kira 20,000 penduduk di beberapa kawasan perumahan sekitar Jalan SILC 2/4 terjejas akibat pencemaran air berwarna hitam dan bau busuk yang didakwa berlarutan sejak beberapa tahun lalu.

Masalah itu dipercayai berpunca daripada tindakan tidak bertanggungjawab pengusaha kilang yang membuang sisa industri ke saluran longkang monsun di kawasan berkenaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img