MENTERI Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) yang berkuat kuasa 1 Januari lalu bertujuan untuk membanteras taktik pneipuan dalam talian semakin berleluasa di media sosial.
Katanya, pada masa ini, pendekatan regulatory sandbox atau medan ujian regulatori sedang dijalankan bagi meneliti mekanisme kawal selia terhadap platform media sosial termasuk had umur bagi memastikan mereka memahami sepenuhnya akta itu.
“ONSA terpakai kepada platform-platform dan sekiranya mereka terus membenarkan kejadian seperti deepfake AI, penipuan pelaburan serta judi dalam talian maka denda yang besar boleh dikenakan antara RM1 juta hingga RM10 juta.
“Kita beri mereka sedikit masa untuk memastikan mereka faham segala tugas dan tanggungjawab mereka,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Penyatuan Seni dan Budaya di KL Gateway Mall, Kuala Lumpur hari ini.
Fahmi menjelaskan, selain mahu memastikan ekosistem digital selamat, ONSA juga penting bagi mengekang aktiviti jenayah termasuk penipuan dan penyebaran kandungan yang memudaratkan perkembangan mental kanak-kanak.
Sehubungan itu beliau mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terperdaya dengan janji manis sindiket penipuan yang menjanjikan pulangan besar dengan modal kecil, dan tidak sewenang-wenangnya mempercayai sebarang tawaran pelaburan di platform media sosial.
Mengenai program hari ini, Fahmi menyambut baik inisiatif penganjur yang melibatkan kira-kira 20 reruai produk kebudayaan serta kesenian dari Malaysia dan Indonesia.
Beliau berkata Kementerian Komunikasi memberikan tumpuan penuh kepada industri kreatif merangkumi muzik, animasi dan filem termasuk yang telah pun berjaya dieksport ke pasaran Indonesia seperti Upin dan Ipin serta Papa Zola.
“Saya percaya dengan sokongan yang dapat kita beri, termasuk melalui agensi-agensi seperti Finas, MyCreative Ventures dan banyak lagi, lebih banyak produk industri kreatif Malaysia dapat kita bawa ke peringkat Asia Tenggara dan seterusnya ke seluruh dunia,” katanya.


