Lebih 70 ekor harimau mati misteri bulan ini, Tiger Kingdom Chiang Mai ditutup dua minggu

PIHAK berkuasa penternakan Thailand telah mengarahkan kuarantin dan kerja-kerja pembasmian kuman di Tiger Kingdom Chiang Mai selepas lebih 70 ekor harimau dilaporkan mati secara misteri bulan ini, sekali gus memaksa pusat pelancongan itu ditutup selama dua minggu sementara siasatan menyeluruh dijalankan.

Premis yang dikendalikan secara persendirian itu melarang kemasukan orang awam dan melaksanakan pembasmian kuman di seluruh fasiliti. Sampel bangkai harimau telah dihantar untuk ujian makmal di Faculty of Veterinary Medicine, Chiang Mai University, menurut pegawai penternakan wilayah. Keputusan ujian masih belum diperoleh.

Sumber memaklumkan kematian bermula pada 8 Februari lalu, dengan andaian awal menjurus kepada bekalan daging ayam mentah daripada sebuah ladang swasta terkenal yang digunakan sebagai makanan harimau. Bagaimanapun, pihak berkuasa menegaskan punca sebenar masih belum disahkan, lapor Bangkok post.

Harimau yang masih hidup telah dipindahkan ke pusat jagaan Tiger Kingdom di daerah Mae Taeng untuk pemantauan rapi sementara ujian diteruskan.

Pengarah Pejabat Wilayah Kawasan Perlindungan 16 (Chiang Mai), Kritsayarm Kongsatri, berkata beliau menerima laporan mengenai jumlah kematian yang besar — kira-kira 70 ekor — di taman harimau popular itu.

“Kehilangan begitu banyak harimau dalam tempoh singkat adalah sesuatu yang amat luar biasa,” katanya.

Pejabat Penternakan Wilayah Chiang Mai sedang menyelia siasatan rasmi, manakala Jabatan Taman Negara, Hidup Luar dan Pemuliharaan Tumbuhan akan menghantar pasukan untuk memantau serta membantu siasatan.

Dalam perkembangan berasingan, timbul khabar angin bahawa seorang doktor veterinar yang terlibat dalam bedah siasat (nekropsi) jatuh sakit selepas itu dan dikuarantin sebagai langkah berjaga-jaga susulan kebimbangan kemungkinan jangkitan selesema burung.

Namun, pihak berkuasa belum mengesahkan sebarang kaitan dan masih menunggu keputusan makmal berhubung kematian harimau berkenaan.

Tiger Kingdom Chiang Mai, antara tarikan utama di Mae Rim, mengumumkan penutupan selama 14 hari bagi membolehkan kerja pembasmian kuman menyeluruh serta mengehadkan akses sepanjang siasatan dijalankan.

Taman itu belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai dakwaan kaitan dengan makanan ternakan sementara menunggu keputusan ujian.

Tiger Kingdom Chiang Mai dikendalikan oleh Khum Sue Trakarn Co Ltd, yang turut menguruskan Tiger Kingdom Phuket serta tiga lagi tarikan Tiger Park — dua di Phuket dan satu di Pattaya.

Syarikat berkenaan ditubuhkan dengan fokus kepada pembiakan dan pemuliharaan harimau Indochina, dan sering bekerjasama dengan zoo tempatan bagi tujuan pertukaran haiwan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img