SEORANG penjual buah maut selepas gerai perniagaannya di tepi jalan dirempuh sebuah lori treler membawa muatan kayu balak di Batu 27, Sandakan, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, wanita berusia 50 tahun berkenaan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Ulu Dusun akibat kecederaan parah.
Seorang lagi mangsa, wanita berusia 31 tahun, dilaporkan cedera parah selepas tersepit di dalam lori kargo, manakala tiga mangsa lain termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun terselamat.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, kemalangan itu membabitkan tiga kenderaan iaitu sebuah treler membawa muatan kayu balak, lori kargo 10 tan dan sebuah kereta.
Katanya, polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.24 pagi sebelum menghantar tujuh anggota ke lokasi kejadian.
Menurutnya, pasukan bomba tiba pada jam 9.04 pagi dan membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam lori kargo.
“Mangsa yang cedera diberikan rawatan awal sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan di lokasi dan dihantar ke Hospital Beluran menggunakan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) serta ambulans,” katanya.
Setakat ini, identiti semua mangsa belum diperoleh.





