AKTA Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) ketika ini diyakini memadai untuk menangani isu kandungan berbahaya di media sosial, khususnya melibatkan penyebaran kandungan berunsur 3R yang merujuk agama, kaum dan institusi diraja.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihaknya mendapati cabaran utama ketika ini adalah membendung tindakan pihak tidak bertanggungjawab mewujudkan akaun palsu di platform media sosial bagi menghasilkan serta menyebarkan kandungan sensitif sebelum akaun berkenaan ditutup semula.
“Kita nampak banyak akaun palsu dihasilkan, dicipta untuk terutamanya menghasilkan kandungan 3R. Setelah dihasilkan kandungan dan mereka sebarkan, akaun-akaun itu ditutup.
“Jadi ada elemen jenayah di situ, elemen yang baling batu sembunyi tangan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Belia Kreatif Komuniti MADANI sempena Hari Belia Negara (HBN) 2026 di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas peningkatan kes kandungan sensitif dan penyalahgunaan platform media sosial.
Selain memberi perhatian terhadap kandungan sensitif, Fahmi berkata pihak berkuasa turut memantau kewujudan akaun palsu yang menggunakan imej dan nama Raja-raja Melayu serta kerabat diraja.
Beliau berkata, pihaknya mengesan kewujudan berleluasa akaun media sosial yang dicipta untuk melakukan kerja penyamaran.
Sehubungan itu, beliau menekankan platform pengendali media sosial turut bersama memainkan tanggungjawab untuk membanteras kewujudan akaun palsu dan penyamar daripada terus berleluasa.
Tambah Fahmi, pada 22 Mei lalu juga dua kod khusus diterbitkan bagi menjamin keselamatan kanak-kanak dalam talian selain menetapkan beberapa langkah yang perlu dipatuhi platform media sosial.
Katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut meneliti tahap kerjasama syarikat pengendali platform media sosial dalam menangani isu berkenaan.


