AHLI Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim menyuarakan rasa sedih melihat kemelut dalaman yang melanda PKR hari ini susulan tindakan beberapa ahli meninggalkan parti untuk menyertai parti baru Bersama, pimpinan Datuk Seri Rafizi Ramli.
Berikutan catatan melalui Facebook beliau:
Hari ini hari raya kedua Aidiladha. Jam 11 pagi. Satu dua hari ini aku terkenang semasa berada di Mekah; wukuf di Arafah; bermalam di Mudzalifah dan melontar Jamrah di Mina sebelum kembali ke ke Kaabah melakukan tawaf dan Shaie.Kenangan setahun yang telah berlalu aku dan isteri mengerjakan Haji.
Tetapi pagi ini, aku berasa sedih dan pilu, melihat keadaan Parti Keadilan Rakyat, tentang badai dan ribut yang sedang memukul bahtera yang aku berada di dalamnya.
Kubuka telefon pintar dan aku menonton video dan mendengar pengumuman demi pengumuman kawan-kawan yang aku kenal atau yang aku tak kenal, masing-masing mengumumkan keluar dari Keadilan untuk menyertai parti baru pimpinan sahabatku Rafizi Ramli, Parti Bersama Malaysia dengan logo Sang Kancil.
Kali ini aku tidak menahan mereka yang ingin meninggalkan Keadilan. Tidak seperti enam tahun lalu aku berusaha memujuk ahli-ahli parlimen Keadilan yang mahu meninggalkan Keadilan untuk bersama Muhyiddin Yassin dan Parti Bersatu dalam Langkah Sheraton.
Ketika itu aku Pengerusi Keadilan di Negeri Johor. Sebagai contoh, aku menelefon Ahli Parlimen Segamat dan Ahli Parlimen Batu Pahat supaya jangan tinggalkan Keadilan; jangan mengkhianati perjuangan.Usahaku gagal.
Dua Ahli Parlimen dari Johor itu tetap menyertai ahli-ahli Parlimen lain dari Keadilan, sepuluh orang kesemuanya, melompat menyokong Muhyiddin untuk membentuk Kerajaan gabungan Perikatan Nasional yang pertama.Maka tumbanglah Kerajaan Pakatan Harapan yang pertama.
Tetapi kini aku sudah tua dan tidak terdaya lagi menongkah arus untuk selamatkan Parti Keadilan. Aku pun hanya seorang Ahli Parlimen biasa yang berada di pinggiran sahaja. Setiap pandanganku yang muncul sekali sekala di khalayak umum tidak membawa apa-apa kesan, kerana itu semua pandangan peribadi sahaja pada hujah pemimpin-pemimpin tertinggi Keadilan apabila mereka mempertahankan diri.
Jadi aku kini memilih untuk membisu dan berdiam diri sahaja.Aku hanya melihat ramai sahabat-sahabatku di kalangan ahli-ahli Parlimen senior Keadilan sudah hilang semangat dengan Parti Keadilan di waktu ini.
Di Parlimen, tinggal aku dan beberapa orang sahaja ahli Parlimen Backbencer yang masih menyokong Anwar Ibrahim dan Keadilan. Di sebelah kananku Subang dan di sebelah kiriku Balik Pulau adalah penyokong- penyokong tegar Rafizi Ramli.
Aku di tengah-tengah mereka yang masih memberi kepercayaan kepada PMX, Keadilan dan Kerajaan Madani, walau sekali sekala sama seperti Rafizi, aku turut tidak bersetuju dengan PMX dan Kerajaan pimpinannya, misalnya dalam isu Perjanjian Timbalbalik Tarrif Perdagangan yang telah ditandatangani oleh Anwar Ibrahim dan Donald Trump.
Aku melihat Keadilan sekarang, cedera, luka dan parah.Banyak darah yang keluar.Jika tidak segera dirawat, boleh membawa lumpuh jika pun tidak, mati.
Aku masih berharap Keadilan sebagai sebuah parti politik yang pernah kaya dengan semangat kental perjuangan dapat bertahan dengan ujian dari kebangkitan pemberontakan dari dalaman parti.
.Ini satu ujian demokrasi. Masa depan Keadilan sekarang susah diramalkan.Badai dan ribut akan menguji bahtera Keadilan ini dalam Pilihanraya Umum ke-16 tidak lama lagi. Jika keadilan tidak tumpas dalam PRU-16 nanti, maka ia ada masa depan.Jika menang bergaya, maka PMX akan ditabalkan sebagai Perdana Menteri sekali lagi.
Tetapi jika Keadilan tewas di peti undi atas pilihan rakyat maka semua pimpinan dan anggota Parti Keadilan Rakyat perlu bermuhasabah diri.
Tetapi peluang untuk bersiap dan melengkapkan diri bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-16 itu masih ada lagi.Berpantang Ajal sebelum Mati.


