JUARA Dunia Interim ONE Strawweight Muay Thai, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib menghadiahkan sebuah rumah bernilai RM1 juta kepada ibu bapanya.
Aliff Rakib, 22, berkata rumah itu dibeli menggunakan wang simpanan hasil penyertaan dalam beberapa pertandingan Muay Thai.
“Saya sudah lama mengimpikan untuk menghadiahkan sebuah rumah yang besar dan selesa kepada ibu dan ayah, Suriawati Che Wook, 46, dan Rakib Ahmad, 52.
“Rumah berkenaan terletak di Rantau Panjang dan Insya-Allah, Isnin depan kami akan mengadakan majlis kesyukuran sempena berpindah ke rumah baharu itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Padang Lembah Sireh, di Kota Bharu hari ini.
Pada masa sama, Aliff berkata, dia akan membawa kedua-dua ibu bapanya menunaikan umrah.
“Kejayaan yang diraih pada hari ini bukan hanya hasil usaha sendiri, sebaliknya turut didorong doa dan sokongan ibu dan ayah yang sentiasa menjadi sumber kekuatan sepanjang perjalanan kariernya dalam sukan Muay Thai sehingga mendapat gelaran dunia,” katanya.
Aliff berkata dia bakal berdepan petarung Muay Thai terkenal dari Thailand, Prajanchai dalam saingan ONE Championship pada Oktober depan.
Anak kedua daripada empat beradik itu turut berkata, dalam masa terdekat dia akan mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihannya yang berasal dari Thailand.
Kemenangan sebelum ini menyaksikan Aliff muncul rakyat Malaysia pertama merangkul tali pinggang dunia interim ONE Championship, selain menerima bonus persembahan AS$50,000 (RM214,000).






