Lelaki disyaki terlibat curi kabel ditahan polis selepas kereta terbabas

POLIS menahan seorang lelaki selepas kereta yang dipandunya terbabas ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan susulan maklumat mengenai kejadian kecurian kabel di hadapan sebuah stesen minyak di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ), Cheng Melaka  awal pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Superintenden Halim Abas berkata dalam kejadian pada 4.45 pagi itu, sepasukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Melaka Tengah menerima maklumat menerusi MERS 999 berhubung kejadian berkenaan.

“Anggota MPV kemudian bergerak ke lokasi dan sebaik tiba di Taman Cheng Utama, mereka ternampak sebuah kereta Perodua Alza berwarna biru dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota MPV mengarahkan kereta berkenaan berhenti, namun pemandunya bertindak memecut dan melarikan diri menghala ke Asahan. Kereta itu diekori beberapa unit MPV sebelum terbabas di Sungai Chohong, Jasin selain melanggar kabel penahan tiang elektrik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Halim berkata suspek yang meninggalkan kereta itu dan cuba melarikan diri berjaya ditahan oleh anggota polis.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati suspek seorang lelaki berusia 47 tahun dan ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif methamphetamine.

“Semakan turut mendapati suspek mempunyai 12 rekod lampau berkaitan jenayah dan 10 rekod berkaitan narkotik,” katanya.

Halim berkata hasil penahanan itu, polis turut menyita sebuah kereta Perodua Alza berwarna biru yang dipercayai kenderaan sewa, selain beberapa peralatan seperti tiga pemotong besi, dua pembuka lurang, sebatang anak kunci dan sebuah kelongsong kabel yang tertera tulisan Telekom Malaysia Berhad.

Beliau berkata turut dirampas ialah segulung tali, sebuah beg pinggang yang mengandungi dokumen berkaitan pemilikan kenderaan, kad pengenalan dan lesen memandu milik individu lain serta sebuah telefon bimbit.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 124 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti penglibatan suspek dalam kejadian kecurian kabel berkenaan. Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret pagi esok bagi permohonan reman,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img