Budak dua tahun jatuh dari tingkat lima PPR masih kritikal

KANAK-kanak lelaki berusia dua tahun yang terjatuh dari tingkap sebuah rumah di tingkat lima Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bandar Uda Utama, Johor Bahru, Selasa lalu, masih dalam keadaan kritikal akibat kecederaan serius dialaminya.

Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian wajah, kepala dan leher selain pendarahan dalaman selepas terjatuh ke kawasan parkir flat berkenaan kira-kira jam 10.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ahmad Radin Ramlan Radin Taha berkata, kanak-kanak warga tempatan itu kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai memanjat tingkap ruang tamu menggunakan sofa yang diletakkan berhampiran tingkap berkenaan.

“Tingkap itu dipercayai berada dalam keadaan sedikit terbuka dan tidak berkunci ketika kejadian sebelum mangsa terjatuh dari tingkat lima.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memberi perhatian terhadap aspek keselamatan kediaman terutama membabitkan kanak-kanak kecil.

Katanya, ibu bapa dan penjaga perlu memastikan tingkap serta ruang berisiko berada dalam keadaan selamat bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan menerusi hotline IPD Johor Bahru Utara di talian 07-5563122 bagi membantu siasatan,” katanya.

Semalam, media melaporkan seorang kanak-kanak ditemui terbaring di kawasan parkir selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lima flat berkenaan.

Beberapa penduduk turut mendakwa terdengar jeritan ibu mangsa selepas menyedari anaknya terjatuh, manakala keluarga kanak-kanak itu difahamkan baru beberapa bulan berpindah ke flat berkenaan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img