Aminuddin akui BN rakan kongsi, tetapi PH yang tingkatkan pelaburan

PAKATAN Harapan (PH) Negeri Sembilan mengakui peranan Barisan Nasional (BN) dalam memastikan kestabilan politik negeri selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan, namun menegaskan peningkatan pelaburan dan hasil negeri adalah hasil usaha pentadbiran kerajaan negeri di bawah PH.

Pengerusi PH negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pencapaian nilai pelaburan tinggi ketika ini bukan berlaku mendadak, sebaliknya hasil perancangan dan kerja yang dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang menyifatkan BN sebagai ‘rakan kongsi’ dalam pencapaian itu, calon PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi itu mengakui sumbangan BN dari sudut kestabilan kerajaan.

Bagaimanapun tegasnya, usaha menarik pelaburan termasuk promosi industri dilakukan bersama Exco Perindustrian dan Hal Ehwal Bukan Islam, Teo Kok Siong.

“Kita telah bekerja lima tahun sebelum itu. Saya Exco Pelaburan, manakala Exco Perindustrian pula saudara Teoh (Kok Siong).

“Jadi saya tidak tahu kalau dia Exco Pertanian (Jalaluddin) kata dia menyumbang dalam bahagian mana. RM19 bilion itu tidak termasuk pelaburan pertanian.

“Memang BN menyumbang kepada kestabilan ketika itu, tetapi usaha promosi dilakukan oleh saya dan Teo Kok Siong selaku Exco Industri. Saya pula portfolio Pelaburan,” katanya ketika ditemui selepas program ramah mesra bersama masyarakat India di Air Kuning, malam ini, lapor Buletin TV3.

Jalaluddin sebelum ini berkata, peningkatan nilai pelaburan dan hasil negeri bukan usaha PH semata-mata, sebaliknya turut dibantu peranan wakil rakyat BN yang memiliki 14 kerusi DUN selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan pada penggal lalu.

Dalam perkembangan sama, Aminuddin berkata, persamaan tawaran dalam manifesto BN dan Perikatan Nasional (PN) dengan PH menunjukkan kedua-dua gabungan itu menerima pendekatan yang dilaksanakan kerajaan negeri ketika ini.

“Memang mereka salin daripada PH, menunjukkan bahawa mereka menerima dan mengakui apa yang PH buat adalah yang terbaik. Kalau kita lihat apa yang mereka lakukan, serupa,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img