Keadilan Kedah sifatkan tuntutan UMNO negeri bercanggah pendirian Zahid

PENGARAH Komunikasi Keadilan Kedah, Tunku Nashrul Abaidah menyelar tindakan UMNO Kedah yang mendesak pembubaran Parlimen, sambil menyifatkan gesaan tersebut jelas bertentangan dengan komitmen Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.

Tunku Nashrul menegaskan bahawa Kerajaan MADANI ketika ini berada dalam keadaan stabil dan berfungsi secara optimum, di mana UMNO sendiri merupakan rakan komponen utama yang memegang portfolio dalam Jemaah Menteri.

Oleh itu, tegas beliau, sebagai sebahagian daripada pentadbiran, UMNO sepatutnya berpegang kepada prinsip tanggungjawab kolektif dalam menjaga keharmonian serta kelancaran pemerintahan negara.

“Lebih menghairankan, gesaan ini jelas bercanggah dengan pendirian Presiden UMNO sendiri yang baru-baru ini menegaskan parti itu akan kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal.

“Perjanjian Kerajaan Perpaduan yang dimeterai selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) juga jelas menetapkan kerjasama bagi tempoh lima tahun Parlimen Ke-15,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, tiada sebarang keperluan mendesak untuk mengadakan pilihan raya ketika ini dan menyifatkan tuntutan berkenaan sekadar memenuhi percaturan serta agenda politik sempit pihak tertentu.

Sehubungan itu, Tunku Nashrul mencabar UMNO Kedah supaya menyatakan pendirian sama ada mereka masih patuh kepada arahan pimpinan tertinggi parti atau sengaja mempertaruhkan kestabilan negara demi kepentingan politik.

Menurutnya lagi, penyertaan dalam kerajaan menuntut komitmen tinggi dan bukannya sekadar menikmati kedudukan kuasa semata-mata.

Justeru, beliau menggesa agar keutamaan diberi sepenuhnya kepada usaha memulihkan ekonomi, menangani tekanan kos sara hidup, dan memelihara kesejahteraan rakyat sehingga tamat tempoh mandat pentadbiran ini.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here