LAPORAN Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji (TH) bukan alat untuk mencari keputusan yang memihak kepada mana-mana parti politik, sebaliknya diwujudkan untuk mencari kebenaran berdasarkan fakta, dokumen dan keterangan.
Sehubungan dengan itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim mempersoalkan kewajaran desakan Perikatan Nasional (PN) dan UMNO supaya RCI baharu ditubuhkan bagi menyiasat semula isu pengurusan institusi berkenaan.
Beliau berkata, laporan RCI itu yang didedahkan kepada umum bulan lalu bukan ditubuhkan oleh Kerajaan MADANI, sebaliknya prosesnya bermula ketika pihak yang kini mendesak siasatan baharu berada dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini.
“Apabila dapatan RCI itu tidak memihak kepada naratif politik mereka, tiba-tiba mereka mahu RCI baharu. Apa sebenarnya yang mereka mahu? Adakah setiap kali sesuatu keputusan siasatan tidak memenuhi kehendak politik mereka, maka perlu ditubuhkan RCI sekali lagi sehingga keluar keputusan yang mereka suka?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Kamil berkata, sekiranya terdapat kesilapan dalam laporan RCI berkenaan, pihak terbabit seharusnya mengemukakan bukti dan bukannya menolak dapatan hanya kerana ia tidak selari dengan kepentingan politik sendiri.
“Kalau benar ada bukti baharu, bentangkan. Kalau ada percanggahan fakta, tunjukkan. Kalau ada kesalahan dalam proses siasatan, jelaskan secara terbuka. Itulah cara sebuah demokrasi yang matang berfungsi, bukan dengan meminta RCI diulang semata-mata kerana tidak berpuas hati dengan hasilnya,” tegas beliau.
Muhammad Kamil turut membangkitkan tindakan wakil rakyat PN yang memilih untuk keluar dewan ketika laporan RCI tersebut dibentangkan di Dewan Rakyat pada 12 Ogos lalu sedangkan mereka diberi ruang untuk mendengar dan meneliti dapatan siasatan itu.
“Hari ini, apabila dapatan RCI tidak menyebelahi mereka, mereka pula mendesak supaya RCI baharu ditubuhkan. Ini menimbulkan persoalan besar adakah mereka benar-benar mahu mencari kebenaran atau mereka hanya mahu mencari keputusan yang sesuai dengan naratif politik mereka,” soalnya.
Muhammad Kamil juga mengingatkan semua pihak agar tidak menjadikan TH sebagai bahan permainan politik demi mempertahankan kepentingan pihak tertentu memandangkan institusi itu merupakan amanah jutaan pendeposit.
Beliau berkata, Kerajaan MADANI tidak takut kepada kebenaran dan sekiranya terdapat sebarang kelemahan atau pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya mesti diambil.
“Saya menyeru PN dan UMNO supaya berhenti mempermainkan institusi negara untuk kepentingan politik. Kalau benar mahu mempertahankan TH, pertahankanlah dengan fakta, bukti dan hujah yang kukuh,” katanya.
Laporan RCI yang diterbitkan pada 29 Julai lalu mendedahkan pelbagai dapatan penting berkaitan pengurusan dan tadbir urus TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.





