AMK Pulau Pinang bantah cadangan Guan Eng tukar nama Jalan Pantai Bersih kepada Dragon Temple Lane

ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang membantah cadangan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng untuk menukar nama Jalan Pantai Bersih kepada  Dragon Temple Lane.

Ketuanya, Muhammad Zakwan Mustafa menegaskan, tidak kira apa pun alasan yang diberikan, nama Jalan Pantai Bersih telah sebati dengan penduduk setempat serta mencerminkan identiti kawasan, sejarah dan memori kolektif masyarakat yang telah lama mendiami kawasan tersebut.

‘’Sebarang usaha untuk menukar nama jalan yang telah digunakan sejak sekian lama tanpa keperluan mendesak hanya akan mengelirukan penduduk serta menimbulkan ketidakselesaan awam,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini tular laporan akhbar berbahasa Cina berhubung cadangan Guan Eng yang menggesa Ketua Menteri Pulau Pinang  Chow Kon Yeow supaya menamakan semula Jalan Pantai Bersih kepada Dragon Temple Lane.

Cadangan itu dikatakan sebagai memenuhi hasrat jawatankuasa pengurusan tokong berkenaan serta menganggapnya sebagai ‘ang pau’ Tahun Baharu Cina kepada penduduk Butterworth.

Memetik laporan akhbar itu, Guan Eng berkata, Ketua Menteri memaklumkan akan mempertimbangkan cadangan itu dan sudah mengarahkan Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Pulau Pinang, Zairil Khir Johari untuk mengendalikan perkara terbabit, namun kerja-kerja berkaitan masih belum diselesaikan.

Beliau berharap Ketua Menteri dapat menggunakan kuasa yang ada untuk menyampaikan berita baik kepada orang ramai sebelum sambutan Tahun Baharu Cina.

Mengulas lanjut, Muhammad Zakwan berkata, AMK Pulau Pinang berpandangan tindakan sebegini tidak inklusif, serta langsung tidak munasabah dan tidak mencerminkan keutamaan sebenar rakyat yang lebih memerlukan penyelesaian kepada isu kos sara hidup, perumahan dan kebajikan.

Sehubungan itu, kata beliau  AMK Pulau Pinang menyatakan keyakinan bahawa Ketua Menteri akan mengambil kira sentimen rakyat setempat dan mendahulukan kepentingan umum dengan tidak mempertimbangkan cadangan penukaran nama jalan ini, demi memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum serta menghormati sejarah dan identiti tempatan.

‘’AMK Pulau Pinang akan terus konsisten mempertahankan kepentingan rakyat dan menolak sebarang tindakan simbolik yang tidak memberi nilai tambah serta tidak membawa manfaat sebenar kepada masyarakat,’’ katanya

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img