BRIGED Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas sejumlah 168 bahagian hidupan liar disyaki ekor buaya bernilai RM20,000 selepas menyerbu sebuah premis barangan sejuk beku di Kampar, Perak semalam.
Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, dalam serbuan itu seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an turut ditahan dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dijalankan bagi membongkar kegiatan mengeksploitasi bahagian hidupan liar itu.
“Operasi pada jam 4 petang itu turut disertai Polis Diraja Malaysia, PGA dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
“Hasil siasatan awal mendapati kesemua bahagian hidupan liar itu dipercayai diperoleh daripada sebuah syarikat pembekal yang beroperasi di Puchong, Selangor sebelum diagihkan kepada restoran-restoran di sekitar Kampar mengikut permintaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Balveer Singh berkata, premis perniagaan berkenaan dipercayai telah menjalankan kegiatan ini sejak 2024.
Menurutnya, suspek telah diserahkan kepada Perhilitan Perak dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 68 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).


