PUSAT Sebaran Maklumat Nasional (NADI) memainkan peranan penting dalam memperluas akses dan peluang digital kepada golongan berpendapatan rendah serta masyarakat yang kurang mendapat kemudahan teknologi.
Ketua Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial, Universiti Islam Selangor (UIS), Zairil Azmir Zaiyadi berkata, usaha Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyediakan kemudahan digital melalui NADI membantu memastikan manfaat teknologi dapat dinikmati secara lebih inklusif.
Menurut beliau, jurang digital bukan hanya melibatkan perbezaan antara bandar dan luar bandar, malah turut boleh berlaku dalam kalangan kelompok berpendapatan rendah di kawasan bandar.
“Usaha menyediakan NADI merupakan satu langkah yang baik untuk membantu merapatkan jurang teknologi.
“Yang penting ialah memastikan golongan berpendapatan rendah juga mempunyai peluang untuk menggunakan kemudahan dan mendapatkan manfaat daripada teknologi,” katanya ketika ditemui UtusanMelayuPlus baru-baru ini.
Beliau berkata, teknologi kini mempunyai kaitan rapat dengan pendidikan, pekerjaan dan peluang perniagaan.
Kemahiran digital boleh membantu seseorang mencari pekerjaan, mengikuti latihan, menjalankan perniagaan kecil atau memasarkan produk secara dalam talian.
NADI juga berpotensi menjadi ruang komuniti bagi mereka yang tidak mempunyai kemudahan atau persekitaran sesuai di rumah untuk menjalankan aktiviti digital.
Pada masa sama, beliau berkata, kesedaran mengenai kewujudan dan fungsi NADI boleh terus dipertingkatkan melalui pemakluman serta promosi yang lebih meluas.
Menurutnya, penggunaan media sosial, sekolah, komuniti setempat dan saluran komunikasi akar umbi boleh membantu memastikan lebih ramai masyarakat mengetahui kemudahan serta program yang disediakan.
“Sayang kalau kemudahan yang disediakan tidak dimanfaatkan sepenuhnya hanya kerana masyarakat tidak mengetahui kewujudannya atau tidak memahami bagaimana ia boleh membantu mereka,” katanya.
Beliau mencadangkan program yang ditawarkan terus disesuaikan dengan keperluan masyarakat, termasuk latihan asas komputer, kemahiran mencari pekerjaan, pemasaran digital, keselamatan dalam talian dan keusahawanan.
Katanya, pendekatan tersebut penting bagi memastikan perkembangan teknologi dapat diterjemahkan kepada peluang yang lebih nyata dalam kehidupan masyarakat.
“Yang penting ialah memastikan tidak ada kelompok masyarakat yang tertinggal hanya kerana mereka tidak mempunyai akses atau kemahiran untuk menggunakan teknologi,” katanya.
Menurut Zairil, pendekatan inklusif yang dilaksanakan secara berterusan oleh MCMC melalui NADI membantu memastikan perkembangan teknologi bukan hanya memberi manfaat kepada mereka yang sudah mempunyai kemudahan dan kemahiran.
Sebaliknya, lebih ramai rakyat berpeluang menggunakan teknologi untuk meningkatkan pendidikan, pekerjaan, pendapatan dan kualiti hidup.





